MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar tidak berdiam diri susulan pendedahan penuh dokumen Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendedahkan kesalahan pemalsuan dokumen dalam isu pemain warisan.
Beliau menegaskan bahawa FAM perlu melengkapkan proses rayuan dengan segera, bukan sekadar mengumumkan hasrat untuk berbuat demikian, tetapi juga memfailkannya secara rasmi bagi memastikan hak Malaysia terus dipertahankan di peringkat antarabangsa.
“Saya telah membaca alasan penghakiman FIFA. FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA,” tegasnya dalam media sosialnya pagi ini.

Hannah turut mengakui bahawa penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang bukan sahaja menjejaskan reputasi bola sepak Malaysia, tetapi juga memberi kesan besar kepada semangat penyokong dan pemain.
Bagaimanapun, beliau tidak lupa memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang akan turun beraksi menentang Laos minggu ini dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, sambil mengingatkan agar fokus utama pasukan negara tidak terganggu dengan isu semasa.
“Kita juga tidak boleh melupakan pasukan Harimau Malaya yang akan menentang Laos minggu ini. Kepada pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,” tambahnya.
Sementara itu, pagi tadi FAM mengesahkan telah memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib badan dunia itu, yang sebelum ini mengenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta) dan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain warisan.
Tindakan pantas FAM dalam menguruskan rayuan kini menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tempatan, yang menuntut penjelasan telus serta pembelaan menyeluruh terhadap nama baik Malaysia di pentas dunia.