KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui faktor gugup pada aksi final pertama menjadi antara punca utama pasukannya gagal menjuarai ASEAN Club Championship Shopee Cup selepas tewas 1-3 secara agregat kepada Buriram United F.C..

Selangor menamatkan cabaran selaku naib juara selepas tewas 1-2 pada aksi final kedua di Stadium Buriram, sekali gus menyaksikan kelab Thailand itu mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu.

Bagaimanapun, skuad Red Giants memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila Syahir Bashah meledak gol pembukaan pada minit ke-18 untuk mengikat kedudukan agregat.

Gol tersebut memberi tekanan awal kepada tuan rumah di hadapan lebih 30,000 penyokong Buriram yang memenuhi stadium.

Namun, jaringan Suphanat Mueanta dan Theerathon Bunmathan memastikan Buriram bangkit meraih kemenangan sekali gus mengekalkan trofi kejuaraan.

Kim tetap memuji komitmen pemain Selangor yang menurutnya berjaya mempamerkan karakter sebenar pasukan terutama pada aksi di Thailand.

Beliau mengakui para pemain agak gementar ketika aksi pertama di tempat sendiri kerana sudah lama tidak beraksi di pentas final besar, namun pasukan berjaya memperbaiki persembahan pada perlawanan kedua.

Menurutnya, Selangor berjaya menampilkan corak permainan agresif dan berani selain mengekalkan identiti permainan walaupun berdepan lawan yang cukup berkualiti.

Kim turut menjelaskan beberapa perubahan taktikal yang dilakukan pada aksi kedua berfungsi dengan baik terutama di bahagian pertahanan sebelum momentum berubah memihak kepada Buriram.

Walaupun kecewa gagal membawa pulang trofi, pengendali dari Korea Selatan itu melihat perjalanan Selangor musim ini sebagai sesuatu yang positif selepas mengambil alih pasukan di pertengahan musim.

Selain berjaya mara ke final Shopee Cup, Kim turut membantu Selangor menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tangga ketiga.

Malah, Selangor turut mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama berjaya mara ke final Shopee Cup sejak kejohanan itu diperkenalkan.

Kim kini optimis Selangor mampu tampil lebih kuat musim depan apabila beliau mahu terus membentuk identiti dan DNA pasukan bagi mengembalikan Red Giants sebagai pencabar utama bola sepak tempatan.