PASUKAN Kuching City FC mengesahkan ketua jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak akan terus membimbing pasukan itu selepas menandatangani kontrak baharu sehingga tahun 2029.
Perkembangan tersebut diumumkan menerusi kenyataan rasmi oleh Pengerusi Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman hari ini.
Menurut kenyataan itu, lanjutan kontrak selama tiga tahun diberikan sebagai tanda keyakinan penuh pihak pengurusan terhadap kemampuan Aidil Sharin dalam memimpin hala tuju pasukan untuk jangka panjang.
Sejak mengambil alih The Cats, jurulatih dari Singapura itu berjaya membentuk identiti permainan tersendiri selain meningkatkan daya saing pasukan dalam arena bola sepak tempatan.
Kuching City turut muncul antara pencabar utama musim ini dengan beberapa keputusan memberangsangkan termasuk berjaya menamatkan saingan liga di kelompok teratas.
Pihak pengurusan percaya kesinambungan bersama Aidil Sharin mampu memberi kestabilan serta membantu kelab terus berkembang sebagai pasukan kompetitif di Malaysia dan Asia.
Dalam masa sama, kelab turut menghargai sokongan berterusan penyokong, penaja dan rakan strategik yang sentiasa bersama perjalanan pasukan.
Aidil Sharin dijangka terus mengetuai projek pembangunan jangka panjang Kuching City termasuk memperkukuhkan skuad menjelang cabaran musim depan.
Untuk rekod, Kuching City bakal membuat penampilan di pentas Liga Juara-Juara 2 AFC musim hadapan selepas menamatkan saingan Liga Super Malaysia 2025-2026 di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim FC