KELAB Kuala Lumpur Rovers FC membuat kejutan apabila dilaporkan bakal beraksi di Liga Singapura untuk musim 2024 menerusi satu surat rasmi yang tular di laman sosial pada Khamis.
Menerusi surat yang bertarikh 7 Mac itu, KL Rovers dengan jelas menyatakan hasrat mereka untuk beraksi di Liga Singapura kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman.
Mereka juga ada mengepilkan surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan kini memohon sokongan daripada FAM untuk beraksi di luar negara selepas bergelar juara Liga MBSB Bank Championship selama dua tahun beturut-turut.

Surat yang diserahkan KL Rovers kepada FAM
Perkara ini boleh menjadi kenyataan kerana pada 6 Disember 2023, FAS ada mempelawa mana-mana pasukan yang berminat untuk bertanding sebagai pasukan ke-10 Liga Singapura musim 2024.
Dua kelab Singapura, Woodlands Lions dan Tengah FC menghantar permohonan mereka dengan Tengah FC dilihat sudah mencetuskan kekecohan di media sosial seakan-akan mereka sudah mendapat tempat untuk beraksi di SPL 2024.
Bagaimanapun, perkara itu sudah dilabel sebagai palsu dan Tengah FC masih menunggu kata putus dari FAS sama ada permohonan mereka diterima atau KL Rovers bakal mengambil slot kelab kesepuluh itu.

Logo rasmi Singapore Premier League (SPL)
Peluang KL Rovers untuk beraksi di Liga Singapura semakin cerah apabila permohonan Woodlands Lions juga telah ditolak SPL menerusi emel bertarikh 29 Februari 2024.
Jika perkara ini berlaku, KL Rovers akan menjadi kelab jemputan ketiga dalam Liga Singapura musim ini selepas Albirex Niigata FC dari Jepun dan DPMM FC dari Brunei Darussalam.
Selain Albirex dan DPMM, tujuh lagi pasukan yang bertanding dalam SPL adalah Tampines Rovers, Lion City Sailors, Hougang United, Tanjong Pagar FC, Young Lions, Balestier Khalsa dan Geylang International FC.