PENYERANG skuad Bawah 23 (B-23) negara, Fergus Tierney tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila Malaysia tersingkir awal dari Piala ASEAN Mandiri 2025 selepas terikat 0-0 menentang tuan rumah, Indonesia semalam.
Tierney, yang diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Harimau Muda, mengakui kekalahan itu lebih perit kerana tidak mampu menghadiahkan kemenangan kepada keluarganya yang datang dari Kuala Lumpur untuk menyaksikan aksinya secara langsung di Stadium Gelora Bung Karno.
“Saya dah beri 100 peratus, tapi masih tak berjaya jaringkan gol. Saya tetap bangga setiap kali lihat keluarga saya di tempat duduk penonton. Tapi pasukan kami tak berjaya layak… itu sangat mengecewakan,” katanya.

Fergus Tierney ditemu bual di Mixed Zone sebelum dia menaiki bas bersama pasukannya.
Pemain Sabah FC itu turut mengakui terdapat banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam pasukan, selain percaya pengalaman di Jakarta ini menjadi pengajaran berguna buat dirinya dan rakan sepasukan untuk masa depan.
“Kami belajar banyak perkara sepanjang kejohanan ini. Sekarang kami perlu fokus dengan kelab masing-masing dan harap dapat tampil lebih baik dalam kelayakan Piala Asia B-23 nanti,” ujar Tierney.
Malaysia menamatkan kempen kumpulan A di tangga ketiga selepas hanya meraih satu mata dan gagal menjaringkan gol mencukupi untuk melangkah ke separuh akhir, meskipun menunjukkan peningkatan prestasi ketika berdepan Indonesia.