Photo by Alfredo Estrella/AFP
PENGENDALI Belanda, Ronald Koeman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Oranje susulan kegagalan pasukan itu meneruskan kemaraan di Piala Dunia 2026 selepas tersingkir pada pusingan 32 terbaik.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Belanda dikejutkan Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti di Monterrey, sekali gus menamatkan kempen mereka lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan.
Koeman mengesahkan keputusan tersebut menerusi satu hantaran di Instagram, sambil mengakui beliau mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pasukan mencapai misi di pentas terbesar dunia itu.
“Saya membuat keputusan untuk menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda.
“Kami datang ke Piala Dunia dengan impian besar untuk mencipta sejarah, namun ia tidak menjadi kenyataan. Tiada siapa yang lebih kecewa daripada saya dan sebagai ketua jurulatih, saya memikul tanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Pengunduran Koeman tidak begitu mengejutkan memandangkan beliau berdepan tekanan hebat sepanjang kempen kali ini, termasuk kritikan daripada media Belanda susulan persembahan tidak konsisten skuad Oranje.
Jurulatih berusia 63 tahun itu turut memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak akan kembali ke dunia kejurulatihan dalam masa terdekat, terutama selepas melalui tempoh sukar dari sudut peribadi.
Menurut Koeman, keadaan kesihatan isterinya, Bartina, banyak mempengaruhi cara beliau melihat kehidupan dan masa depan.
“Beberapa tahun kebelakangan ini menyedarkan saya bahawa ada perkara yang lebih penting daripada bola sepak. Bola sepak sentiasa menjadi hidup saya, tetapi kesihatan adalah sesuatu yang tidak ternilai.
“Isteri saya tetap memberi sokongan penuh walaupun sedang berdepan cabaran kesihatan sendiri. Kekuatan yang ditunjukkannya sangat luar biasa dan saya amat menghargainya,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Belanda, Nigel de Jong, mengakui kempen Oranje di Piala Dunia kali ini jauh daripada memuaskan, dengan sasaran asal pasukan adalah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.
“Sasaran kami adalah ke separuh akhir dan cita-cita utama adalah menjadi juara dunia.
“Malangnya kami gagal mencapainya. Kami masih jauh daripada tahap yang diharapkan dan itu realiti yang perlu kami akui,” kata De Jong.