KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City FC, Ganesan Shanmugam mengharapkan pengalaman diraih R.Kogileswaran bersama kelab baharunya, Chungbuk Cheongju FC mampu menempatkan dirinya untuk terus berada dalam skuad Harimau Malaya.
Jelasnya, dia mahu bekas pemainnya itu menggunakan peluang sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti pemainannya.
“Saya juga harap selepas ini dia mampu terus berada dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Kogileswaran kini sah bersama kelab daripada Liga Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC bagi tempoh setahun (2023-2024) dan kini telah menjalani latihan bersama pasukan bagi mengharungi saingan pra musim di Bangkok, Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN: “Bakat saya diintai ketika bersama Harimau Malaya dan PJ City” – Kogi
Tegas Shanmugam lagi, Kogi sememangnya seorang pemain yang sentiasa mempunyai keinginan untuk tingkatkan lagi kualiti permainannya.
“Memandangkan kontraknya sudah tamat dengan PJ City, semua ini adalah usaha dia dan ejennya. Saya ada juga berhubung dengannya dan dia ada mengatakan tentang berita ini.
“Pastinya khabar ini sesuatu yang bagus buatnya dan saya harapkan yang terbaik. Dia pun masih muda dan dia perlukan lebih banyak minit permainan,” katanya.