JAGUH wushu negara, Tan Cheng Min tekad merebut slot ke Sukan SEA Kemboja 2023 buat kali pertama yang akan berlangsung di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei nanti.

Selepas tiga acara wushu utamanya iaitu Nandao, Nanquan, Nangun tersenarai dalam pertandingan pada temasya tersebut, Cheng Min kini berada dalam prestasi terbaik merebut slot selepas bebas dari kecederaan dialaminya Ogos tahun lalu.

Mengalami kecederaan kaki kanan, pemenang emas Kejohanan Wushu Dunia 2017 dan 2019 tidak melihat ia penamat kariernya malah pulih lebih cepat dari jangkaan.

Tegasnya, walaupun sudah beraksi hingga ke pentas dunia, adalah penting untuk dia persembahkan aksi terbaik ketika sesi pemilihan untuk menambat hati barisan kejurulatihan supaya namanya tersenarai ke Kemboja.

Cheng Min bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta rakan-rakan meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Majlis Sukan Negara.

“Saya alami kecederaan kaki kanan pada 31 Ogos tahun lepas kerana salah cara mendarat pada sesi latihan namun sekarang ini sudah pulih hingga 90 peratus.

“Jadi memang saya ada sasaran (Sukan SEA Kemboja) apabila tahun lepas saya hanya sertai Sukan Universiti ASEAN (AUG) namun, macam sekarang pemilihan untuk ke Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia di Hangzhou, China masih belum dilakukan.

“Saya rasa jurulatih hanya akan membuat pemilihan dalam seminggu lagi namun besar harapan saya untuk beraksi di Sukan SEA pertama kalinya,” katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Pemenang Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2022 itu juga optimis mampu membuat penampilan terbaiknya menerusi Nandao, Nanquan dan Nangun sekali gus tidak sabar untuk memberikan saingan sengit kepada pihak lawan.

Cheong Min, 25, mencipta sejarah apabila menjadi atlet wushu wanita pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan apabila mengharumkan nama Malaysia menerusi sumbangan pingat emas acara Nandao dan pingat perak (Nanquan) pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China.

Pada Mei lepas, skuad wushu negara menutup cabaran di Sukan SEA Hanoi, Vietnam dengan meraih keseluruhan dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa.