JUARA bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, kini menghadapi realiti pahit apabila harapan mereka untuk mempertahankan gelaran musim ini hampir mustahil.
Pemain tengah, Bernardo Silva, secara terbuka mengakui bahawa pasukan kendalian Pep Guardiola telah terlalu jauh ketinggalan, dengan jurang 14 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.
Musim ini menyaksikan City bergelut untuk mengekalkan prestasi, berada di tangga keenam selepas hanya memenangi dua daripada 10 perlawanan terakhir liga.
Cabaran terbesar mereka adalah krisis kecederaan, termasuk kehilangan pemain penting seperti pemenang Ballon d’Or, Rodri, yang terpaksa berehat sehingga penghujung musim.
“Dalam situasi sekarang, saya perlu menerima realiti. Saya tak boleh bercakap tentang Liverpool atau Arsenal kerana kami berada di tempat keenam.
“Saya takkan kata mustahil, sebab dalam bola sepak tiada yang mustahil. Tapi hakikatnya, kami sudah terkeluar dari perebutan gelaran. Musim ini, kami sudah kehilangannya,” kata Bernardo dalam satu temu bual bersama Sky Sports.
Bernardo turut menambah bahawa musim ini menjadi contoh jelas bagaimana gelaran liga boleh “hilang” sebelum tahun baru, terutama apabila gagal memanfaatkan peluang pada perlawanan penting.
City dijadualkan menentang West Ham United pada Sabtu ini dalam saingan liga, diikuti pertembungan Piala FA menentang Salford City pada 11 Januari. Dengan baki musim yang tinggal, tumpuan mereka kini adalah untuk memperbaiki kedudukan di liga dan memberi cabaran dalam pertandingan lain.
Walaupun peluang mempertahankan gelaran kelihatan suram, Guardiola dan pasukannya pasti berusaha untuk kembali bangkit dan membuktikan kemampuan mereka sebagai salah satu pasukan terbaik di dunia.