Kredit Gambar: Florencia Tan Jun / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP
Tekanan terhadap Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino terus memuncak apabila sekumpulan pihak yang menentang kepimpinannya dilaporkan mengancam untuk tidak lagi bekerjasama dengan badan induk bola sepak dunia itu selagi beliau tidak melepaskan jawatan.
Menurut sumber dalaman Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), kumpulan berkenaan berpendirian bahawa tiada lagi ruang untuk berkompromi dengan Infantino selepas kontroversi membabitkan cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE), sebuah subsidiari komersial yang sebelum ini dicadang membuka ruang kepada pelabur swasta memiliki pegangan dalam pertandingan utama FIFA.
Walaupun cadangan FFE akhirnya dibatalkan, kemelut yang tercetus dilihat masih belum reda apabila beberapa persatuan bola sepak dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memulaukan mesyuarat FIFA sebagai tanda bantahan terhadap kepimpinan Infantino.
UEFA sebelum ini turut mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung cadangan tersebut, manakala Persatuan Bolasepak Wales dilaporkan menarik balik sokongan terhadap pencalonan Infantino bagi penggal keempat sebagai Presiden FIFA. Persatuan Bolasepak England (FA) pula dijangka mengambil pendirian sama.
Infantino dijadual mempertahankan jawatannya pada Kongres FIFA, Mac tahun depan dan memerlukan sekurang-kurangnya 106 undi daripada 211 ahli untuk dipilih semula bagi penggal terakhir.
Menurut laporan BBC Sport, Persatuan Bolasepak Scotland (SFA) turut dilaporkan menyelaraskan pendirian mereka dengan UEFA yang kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan Infantino.
Setakat ini, beberapa negara Eropah termasuk Serbia, Sweden dan Finland dilaporkan telah menarik balik sokongan kepada Infantino, namun beliau masih mendapat dokongan beberapa negara lain seperti Maghribi, Qatar, Lubnan, Kuwait dan Sri Lanka.
Dalam perkembangan sama, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyatakan solidariti bersama UEFA dan CONCACAF dengan menggesa FIFA menambah baik proses tadbir urus serta membuat keputusan secara lebih telus, manakala Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan Oceania belum mengeluarkan kritikan terbuka terhadap isu berkenaan.
Majlis FIFA juga mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan kedudukan presiden sekiranya sekurang-kurangnya 19 daripada 37 ahli majlis menyokong usul tersebut. Mesyuarat itu perlu diadakan dalam tempoh dua minggu selepas permintaan rasmi dikemukakan.
Kontroversi itu berpunca daripada cadangan FIFA menubuhkan FIFA Forward Enterprise yang bertujuan menguruskan hak komersial kejohanan utama termasuk Piala Dunia, dengan pelabur luar dibenarkan memiliki pegangan minoriti dalam syarikat tersebut bagi menjana dana baharu.
Sebagai tindak balas, UEFA dilaporkan menghantar surat rasmi kepada FIFA memaklumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang, timbang tara atau aduan kawal selia berkaitan cadangan FFE, selain menggesa FIFA memastikan semua dokumen berkaitan cadangan itu dipelihara bagi sebarang prosiding yang mungkin berlaku pada masa depan.