Oleh: MOHD FARIQ

BERMISAI tebal ketika bertugas di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menjadi penolong kepada Hatem Souissi, B. Satiananthan bukan seorang jurulatih biasa.

Lebih mesra dengan panggilan Sathia, dia bermula sebagai seorang penolong jurulatih kepada Hatem, individu yang juga bermisai tebal, yang dipertanggungjawab membentuk sebuah pasukan yang mampu bersaing di Piala Dunia Remaja FIFA 1997.

Dilantik seawal 1995, Sathia bekerja dengan pemain seperti Nafuzi Zain, Gilbert Cassedy Gawing, Khalid Jamlus dan Tengku Hazman Raja Hassan untuk misi besar di Stadium Shah Alam waktu itu.

Sathia bersama pemain-pemain Sarawak United FC ketika sesi latihan. Foto: SUFC

Seterusnya Sathia, yang dilahirkan di Tanjung Malim tetapi membesar di Muar, meneruskan kerjayanya selaku jurulatih Bawah 19 tahun kebangsaan dan seterusnya dijadikan penolong Allan Harris dari 2001 hingga 2004.

Ketika Norizan Bakar ditugaskan menerajui pasukan kebangsaan pada 2005-2007, Sathia membawa pasukan Bawah 23 tahun. Apabila Norizan mengumumkan bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan selepas skuad negara bolos 12 gol dalam tiga perlawanan Piala Asia AFC 2007, FAM tidak perlu pergi jauh untuk melantik penggantinya.

Sejurus membantu skuad Bawah 23 tahun menjuarai Pestabola Merdeka pada September 2007, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengumumkan dalam bilik persalinan bahawa Sathia dilantik menggantikan Norizan.

Sebelum penulis menceritakan kata-kata Sathia yang mengakibatkan dia dipecat daripada FAM, elok penulis kongsi kisah di balik tabir bagaimana dia mendapat inspirasi menjadi pemain tengah.

Dalam satu perlawanan Piala FAM di Muar pada 1973 yang mempertemukan Muar dengan bintang-bintang dari PKNS Selangor, termasuk Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, imaginasi Sathia berputar-putar memikirkan alangkah indahnya berkongsi padang dengan pujaannya.

Dalam keghairahannya mendapatkan autograf pemain pujaannya, Sathia mengeluarkan buku teks matematiknya. Lantas bintang-bintang PKNS menurunkan tanda tangan masing-masing.

Sepuluh tahun kemudian, Sathia memenuhi impian beraksi di sisi idolanya.

Sebelum menyarung jersi Negeri Sembilan, Sathia sudahpun memiliki tauliah selaku jurulatih dengan mendapatkan sijil kejurulatihan asas pada usia 17 tahun. Dalam satu kursus kejurulatihan yang dikendalikan oleh Mazlan Hamid di Johor, Sathia menjadi peserta termuda.

Tidak hairanlah dia diberi tugas mengendalikan skuad remaja Negeri Sembilan seawal 1990 dan Liga Simpanan sebelum diangkat menjadi penolong kepada Josef Herel di Negeri Sembilan seawal 1992,

Dalam sistem bola sepak negara, Sathia seorang pejuang.

Kata-katanya Liga M bukan bola sepak pada sidang akhbar selepas pasukan negara tewas kepada UAE 5-0 di Stadium KLFA Cheras pada Januari 2009, menggemparkan peminat dan mengejutkan FAM yang bertindak memecatnya seminggu kemudian.

Sekali lagi kelantangannya mengundang padah pada Oktober 2010. Kedudukannya selaku jurulatih yang membawa nafas baharu di Kelantan terbantut apabila FAM mengenakan hukuman gantung enam bulan atas sebab mengkritik badan induk itu yang mengatur jadual caca marba.

Mengenang semula kerjaya Sathia, penulis menganggap dia adalah seorang pejuang yang berani menongkah arus.

Dia lantang, tidak akan menyerah kalah dengan mudah serta tidak akan tunduk kepada tekanan. Deretan kejayaannya termasuk terpilih selaku Jurulatih Terbaik tahun 2010, 2012 dan 2017.

Dengan semangat yang sama, Sathia harus melawan penyakitnya yang mengkibatkan dia dengan rasmi melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Sarawak United FC.

BIODATA:

Tarikh lahir: 9 Mei, 1958
Pengalaman beraksi: Negri Sembilan 1977 – 1988
Pasukan Malaysia B (1979-1982)
Malaysia A (1982-1983)
15 cap antarabangsa, pingat gangsa Sukan SEA Singapura 1983, Piala Ovaltine 1983 dan pra-Olimpik 1983.
Kerjaya jurulatih:
1990 – Jurulatih Pasukan Bawah 18 tahun Negeri Sembilan
1991 – Jurulatih Skuad Liga Simpanan Negeri Sembilan
1992 – Penolong jurulatih Negeri Sembilan
1995 – Penolong jurulatih pasukan remaja Bawah 20 tahun kebangsaan ke Piala Dunia Remaja FIFA 1997
1998 – Penolong jurulatih skuad pra-Olimpik
2001-2004 – Penolong jurulatih skuad senior kebangsaan
2006 – Jurulatih MPPJ
2007-2009 – Ketua jurulatih pasukan kebangsaan
2009-2011 – Ketua jurulatih Kelantan
2011-2015 – Ketua jurulatih Angkatan Tentera
2017-2018 – Ketua jurulatih Felda United
2018-2020 – Ketua jurulatih Selangor FC
2021-2022 – Pengarah Teknikal Sarawak United
2022 – Ketua jurulatih Sarawak United