KETUA jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail dan ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres masing-masing menyatakan keyakinan menjelang aksi final MFL Challenge Cup yang dijangka berlangsung sengit.

Bagi Wan Rohaimi, persiapan Penang FC berjalan lancar meskipun sedikit terganggu isu kecederaan melibatkan penyerang Dylan Wenzel-Halls, yang masih dalam pemantauan unit perubatan.

“Secara keseluruhan, tahap kecergasan pasukan berada pada tahap baik dan kini hanya perlu diterjemahkan di atas padang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa peluang beraksi di final merupakan detik penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain.

“Ini adalah perlawanan akhir. Kita tidak tahu bila peluang seperti ini akan datang lagi. Pemain perlu memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit,” ujarnya.

Beliau turut mengakui kelemahan utama pasukannya dalam aksi terdahulu adalah kegagalan menyudahkan peluang, dan berharap perkara itu dapat diperbaiki.

Sementara itu, Juan Torres melihat Sabah FC kini berada dalam keadaan lebih baik berbanding perlawanan akhir pertama selepas beberapa pemain utama kembali pulih daripada kecederaan.

“Kami hampir mempunyai skuad lengkap sekarang. Itu memberikan kelebihan kepada kami untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya.

Torres turut memaklumkan bahawa pasukan telah melakukan analisis terhadap aksi terdahulu bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

“Kami tahu apa yang perlu diperbaiki dan telah bekerja keras untuk menjadi pasukan yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kehadiran penyokong di laman sendiri bakal menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan perlawanan.

“Kami mahu menang untuk penyokong. Sokongan mereka sangat penting dalam perlawanan seperti ini,” tambahnya.

Aksi final MFL Challenge Cup akan berlangsung jam 8.15 malam ini di Stadium Likas, dengan keputusan agregat 1-1 setakat ini.

Sumber Gambar: FB Sabah FC