KEHADIRAN enam wakil negara dalam kelompok pilihan utama Kejohanan Dunia kali ini, memberi kelegaan besar kepada gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengakui situasi itu mampu mengurangkan tekanan yang sebelum ini hanya bertumpu kepada pasangan nombor satu negara itu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky yakin setiap pemain negara memegang status pilihan, sedar tanggungjawab mereka di Kejohanan Dunia.
“Saya sangat setuju, sebelum ini harapan lebih banyak diletakkan kepada Aaron-Wooi Yik, tetapi sekarang dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun semakin meningkat, ia mengurangkan beban mereka,” kata Rexy, ditemui di Akademi Badminton Malaysia(ABM) sebelum berlepas ke Paris malam tadi.
Pemain beregu BAM berlepas terus ke Paris menaiki penerbangan MAS untuk menghadapi cabaran getir di pentas final dunia.


Mengulas mengenai kelebihan tiga beregu lelaki negara, satu beregu wanita dan dua beregu campuran yang mendapat ‘bye’ pusingan pertama, Rexy mengakui ia boleh menjadi pedang dua mata bergantung kepada tahap adaptasi pemain.
“Ya, itu satu kelebihan kerana mereka jimat satu perlawanan, tapi juga boleh jadi kekurangan kalau ada pemain lambat menyesuaikan diri,” katanya, namun percaya pengalaman luas dimiliki pemain negara yang pernah melalui situasi sama sebelum ini akan membantu mereka menguruskan cabaran tersebut.

Pearly Tan-M Thinaah berada pada tahap prestasi terbaik.memcabar kejuaraan dunia. |FOTO|FB Pearly Tan
Pada undian Kejohanan Dunia kali ini, tiga daripada empat beregu lelaki memegang status pilihan; Aaron-Wooi Yik diletakkan selaku pilihan kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (3), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (7).
Sementara beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah (2), beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (4) serta Goh Soon Huat-Shevon Lai (6), dan setiap mereka mampu meraih kejuaraan.