Oleh: KHAIRUL NIZAM
LAHIRNYA di Australia dengan sedikit ‘berdarah’ Itali, tetapi kini jiwanya Kuala Lumpur.
Itulah yang boleh dikatakan mengenai pemain pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Galifuoco yang bermain bagaikan dia anak jati ibu kota Malaysia ini. Ini adalah satu perkara terpuji mengenai pemain berusia 28 tahun ini yang pernah menyertai skuad muda Tottenham Hotspur dan Swansea City.
Jika melihat setiap muatnaik Galifuoco laman sosialnya, dia bukan sahaja sering menyebut nama pasukan KL City, tetapi juga ‘This City’ atau ‘Kota Ini’ bagi menunjukkan betapa cintanya kepada Kuala Lumpur. Setiap kejayaan dan kemenangan yang dilaluinya bagaikan hadiah buat Bandaraya Kuala Lumpur.
Mendengar celotehnya di podcast ‘The Asian Game’ sedikit sebanyak membuka mata dan menunjukkan betapa pemain pertahanan ini tidak mahu sekadar menjadi seorang lagi pemain import di Liga Malaysia.

Foto: KL CIty FC
Kereta pertama yang dipandu oleh Galifuoco atau GG di Malaysia adalah sebuah Perodua Myvi. Bayangkan seorang ‘Mat Salleh’ dengan ketinggian hampir 190 sentimeter memandu Myvi. Tetapi itulah yang dilakukannya supaya dia dapat lebih erat bersama rakan sepasukannya.
Bahkan dia juga sering menghabiskan masa lapangnya dengan menjelajah kota Kuala Lumpur untuk mencari makanan yang sedap-sedap serta tidak lupa dengan Kopi-O.
KL City sangat beruntung kerana mempunyai pemain seperti Galifuoco yang bukan sahaja bermain untuk pasukan, tetapi kota Kuala Lumpur. Semangat juangnya sangat ditagih bagi membantu KL City terus mencipta sejarah di Liga Malaysia atau saingan Piala AFC.

Salah satu aksi GG bersama KL City FC. Foto: KL CITY FC
Setakat ini Galifuoco mempunyai kontrak sehingga musim hadapan dan penyokong KL City perlu berharap agar dapat menikmati aksi tembok kental Australia ini lebih lama lagi.