KEGEMBIRAAN meraikan kejuaraan La Liga bertukar menjadi momen penuh makna apabila bintang muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal, dilihat mengibarkan bendera Palestin ketika perarakan kemenangan berlangsung di sekitar bandar Barcelona.

Pemain berusia 18 tahun itu mencuri perhatian ribuan penyokong yang membanjiri jalan-jalan utama bandar tersebut sempena sambutan kejuaraan liga ke-29 Barcelona serta aksi spontan Yamal di atas bas terbuka pasukan menerima sorakan gemuruh daripada para peminat yang hadir meraikan kejayaan gergasi Sepanyol itu.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Yamal dengan penuh bangga memegang bendera Palestin sambil menikmati suasana perarakan bersama rakan sepasukan dan tindakan itu turut mendapat pujian ramai peminat bola sepak yang menyifatkannya sebagai tanda solidariti dan kemanusiaan.

Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga selepas menewaskan musuh tradisi, Real Madrid, 2-0 dalam aksi El Clasico yang berlangsung penuh dramatik.

Sejak tercetusnya konflik berdarah di Gaza pada Oktober 2023, bandar Barcelona menjadi antara pusat utama gerakan solidariti Palestin di Sepanyol dan pelbagai himpunan aman serta demonstrasi besar sering diadakan di bandar itu sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin.

Di tengah-tengah kemeriahan meraikan trofi, tindakan Yamal mengibarkan bendera Palestin memberikan satu mesej yang lebih besar daripada bola sepak dengan usia yang masih muda, beliau menunjukkan bahawa sukan juga mampu menjadi suara kepada nilai kemanusiaan dan perpaduan sejagat.