KEJOHANAN Corporate Super Rugby (CSR) kembali buat musim kedua dan bakal menampilkan lapan buah pasukan yang akan bertanding.
Mereka yang mewakili badan-badan korporat dan agensi kebangsaan bakal menghangatkan lagi kejohanan yang sebelum ini diperkenal sebagai Corporate Premier Rugby Championship (CPRC) tahun 2022.
Pengarah Kejohanan, Mohd Shahmil Bahari menyatakan bahawa pertambahan pasukan yang menyertai acara kali ini bakal memberi impak berbeza berbanding edisi sulung sebelum ini.
“Kita bakal menyaksikan bukan sahaja pertambahan jumlah pasukan, malah peningkatan kualiti permainan menerusi barisan pemain yang bakal beraksi,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Enervive Sports.
Sementara itu, juara bertahan iaitu Bank Muamalat Bullets telah diundi untuk berada dalam kumpulan A bersama-sama dua pasukan perintis kejohanan, PPTD Patriots dan TNB Rugby.
Selain itu, satu nama besar dalam kancah ragbi kebangsaan, RMAF Blackhawls turut bersama menghuni Kumpulan A.
Kumpulan B pula menyaksikan finalis yang bertanding pada edisi lalu, MPK Royal Town Warriors yang bakal membuat perhitungan bersama pasukan-pasukan baru iaitu MBSJ Knights dan Pride Greens yang mewakili Jabatan Penjara Malaysia.
Perlawanan pertama akan berlangsung pada 20 Januari di Padang Ragbi UiTM, dan menyaksikan empat perlawanan berlangsung secara mingguan.