JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengucapkan selamat tinggal kepada Temasya Sukan Sea sambil mengesahkan tidak mahu menyertai acara melibatkan “orang cukup upaya” pada Sukan Sea di Bangkok, Thailand hujung tahun ini.

Pemenang pingat perak Paralimpik Paris 2024 itu berkata, selepas mengharungi empat edisi temasya dwi-tahunan sebelum ini, dia mahu berehat.

Biarpun tidak pernah gagal menghadiahkan pingat dalam empat Sukan Sea yang disertainya sebelum ini, Ziyad memberitahu, dia hanya akan fokus kepada sukan para termasuk Para Asean di Thailand.

Untuk rekod, Ziyad mula mewakili negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dengan menyumbang pingat gangsa, diikuti Temasya Filipina 2019 (perak), Vietnam 2021 (gangsa) dan Kemboja 2023 (gangsa).

Ziyad yakin Malaysia mampu mencabar pingat lontar peluru Sukan sea Thailand tanpa kehadirannya.

Ziyad adalah penyandang pingat emas lima edisi berturut-turut di Para Asean bermula dari Naypidaw, Myanmar pada 2014 sehingga Kemboja tahun lalu.

“Untuk Sukan Sea di Bangkok, Thailand hujung tahun ini, saya sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai temasya kali ini.

“Sudah empat edisi saya beraksi di Sukan Sea dan pada kali ini, saya rasa ia sudah semakin bera (peluang).

“Kita juga sekarang sudah mempunyai atlet lontar peluru yang saya lihat berpotensi untuk mencabar pungutan pingat jadi saya membuat keputusan untuk mengundurkan dirii,” kata Ziyad ketika ditemui pada majlis penyerahan insentif Paralimpik Paris 2024.

Kemampuan luar biasa Ziyad yang memenangi pingat emas lontar peluru F20 Paralimpik Rio de Janeiro 2016, menyaksikan dia diberi pengecualian untuk beraksi di Sukan Sea sekalipun berstatus atlet para.

Ziyad bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, ketika majlis penyerahan kereta Chery, di Shah Alam.

Selain Sukan Para Asean, Ziyad akan menumpukan perhatian kepada Grand Prix Para Olahraga yang dijadual berlangsung April ini serta Kejohanan Para Olahraga Dunia pada September depan.

“Setakat ini, latihan berjalan dengan baik tetapi menurut jurulatih, kami tiada perancangan untuk menjalani latihan di luar negara dan ambil pendekatan berlatih di Malaysia sahaja.

“Kita sudah mempunyai kemudahan yang mantap di Majlis Sukan Negara jadi tidak kira berlatih di dalam atau luar negara, kita akan cuba melakukan yang terbaik dan misi untuk mengekalkan pingat,” kata Ziyad.

Pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Ziyad cemerlang memenangi pingat emas dengan turut memecahkan rekod Asia menerusi lontaran sejauh 17.43 meter.