PASANGAN beregu wanita remaja negara, Noraqilah Maisarah Ramdan dan Nur Aina Maisarah Hatta nekad menepis gelaran ‘underdog’ apabila turun beraksi di Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Surakarta, Indonesia.

Walaupun tumpuan terarah kepada gandingan utama wanita remaja negara, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu yang menghuni tangga kedua remaja dunia, Noraqilah-Aina menganggap situasi itu memberi kelebihan untuk mereka tampil tenang tanpa tekanan dan bersedia mencuri tumpuan di pentas Asia.

“Kami tahu Dania-Zi Yu pasangan utama, jadi tumpuan pasti kepada mereka, bukan kami,” kata Noraqilah yang lebih senior dalam gandingan tersebut.

Biarpun baru digandingkan sejak April lalu, mereka sudah mara ke final Terbuka Slovakia dan suku akhir di Terbuka Austria serta Cabaran Remaja Antarabangsa Malaysia.

“Kami sendiri tak sangka boleh sampai ke final di Slovakia sebab baru digandingkan, tapi untuk BAJC ini kami sasarkan pingat,” tambah Noraqilah.

Noraqilah, 18, dan Aina, 16, masih dalam proses mendapatkan persefahaman dan ketajaman di gelanggang mereka sudah dikenali dengan corak permainan pantas selain memiliki komunikasi mantap.

Skuad remaja negara akan berlepas ke Indonesia hari ini, akan mula beraksi dalam acara berpasukan campuran terlebih pada 18 hingga 22 Julai sebelum memulakan aksi individu pada 23 hingga 27 Julai.