TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC dan juga pemain naturalisasi Harimau Malaya, Lee Tuck kini berjaya sebagai seorang ejen dalam bidang hartanah di United Kingdom (UK).
Selepas menamatkan kontraknya pada akhir Julai lalu dengan Kedah, dia mengambil keputusan pulang ke UK.
Menerusi Facebook, Lee Tuck yang berusia 35 tahun berkongsi berita gembira apabila dirinya bersama isteri, Georgia, berjaya menjadi finalis Anugerah Pelabur Hartanah Terbaik di UK.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya adalah finalis dalam Anugerah Pelabur Hartanah yang merupakan salah satu anugerah kebangsaan terbesar di UK dan ia merupakan salah satu anugerah paling diiktiraf dalam industri hartanah.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya di Unified Property atas semua kemajuan yang telah kami capai pada 2022/2023.
“Walaupun ia tidak selalu mudah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang kami terima atas segala usaha kami untuk meningkatkan taraf hartanah sewaan,” katanya.
Lee Tuck yang masih berstatus agen bebas boleh lagi beraksi di atas padang berdasarkan kondisi badan dan fizikalnya yang cergas bersama kelab lain sebagai destinasi baru.
Belum pasti sama ada dia akan kembali dipanggil Kim Pan-gon ataupun tidak bagi mewakili Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2024 di Qatar.