BEKAS ketua pasukan Colombia, Freddy Rincon kini berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bandar Raya Cali pada Selasa.
Empat lagi mangsa yang bersama-sama dalam kenderaan yang dipandu Rincon turut mengalami kecederaan selepas berlanggar dengan sebuah bas. Turut cedera dalam kejadian itu adalah pemandu bas tersebut.
”Freddy Eusebio Rincon tiba di hospital pagi ini dengan kecederaan trauma pada otak. Keadaan beliau sangat kritikal,” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Klinik Imbanaco.
Rakan baik dan juga bekas pemain, Hamilton Ricard turut melawat keluarga Rincon di hospital.
“Jika berjaya diselamatkan, dia akan mempunyai banyak kesan sampingan. Kita berdoa kepada Tuhan untuk menjaga Freddy ketika ini,” ujar Ricard kepada media.
Rincon, 55, adalah pemain tengah berwibawa yang bermain dengan kelab Santa Fe dan America di Colombia.
Dia juga pernah bermain bersama Napoli dan gergasi Sepanyol, Real Madrid serta mengepalai kelab Brazil, Corinthians memenangi Kejohanan Kelab Dunia pada tahun 2000.
Rincon juga adalah sebahagian daripada generasi emas Colombia yang layak ke Piala Dunia tiga kali berturut-turut 1990, 1994 dan 1998, bersama-sama Carlos Valderrama dan Faustino Asprilla sebelum mengumumkan persaraan pada 2001.
Corinthians menggunakan platform media sosial mereka sebagai tanda sokongan kepada Rincon.
“Doa kami semua adalah kepada juara dunia kami…kekal kuat Freddy,” tulis Corinthians menerusi Twitter.
Selain itu, Real Madrid memuat naik hantaran di Twitter: “Segala kekuatan kami dan kasih sayang kami ditujukan buat Freddy selepas kemalangan hari ini.”