SEKUMPULAN ahli dan bekas ahli sukan Iran, mendakwa mereka tidak ada pilihan selain mempertahankan negara mereka daripada apa yang disifatkan keganasan dan diskriminasi tajaan kerajaan terhadap rakyat biasa terutamanya wanita.

Kumpulan yang terdiri daripada bekas juara termasuk dari sukan karate, judo dan tinju, termasuk golongan yang tinggal dalam buangan di tanah air mereka sendiri.

Minggu lalu, sebuah firma guaman Sepanyol, menghantar surat kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA, menuntut negara mereka (Iran) menarik balik pasukan daripada Piala Dunia.

“Iran berbeza dengan negara lain. Kesatuan bola sepak sepatutnya bebas tapi di Iran aneh dan melucukan. Segala-galanya dikawal tentera Revolusi yang disifatkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai pengganas.

“Kami sudah menghubungi FIFA dan mengatakan cukup-cukuplah. Kami yakin Iran membunuh penunjuk perasaan. Mereka sepatutnya digantung hingga kami menjadi sebuah negara demokrasi seperti negara lain di seluruh dunia,” kata bekas juara remaja dunia tinju yang juga jurulatih kebangsaan Sardar Pashaei kepada Reuters.

Sekeping poster yang mahukan Iran disenaraihitam ke Piala Dunia.

FIFA menolak dari memberi ulasan ketika dihubungi Reuters, manakala pihak berkuasa Iran juga tidak memberi respon ketika diminta mengulas mengenai tuduhan yang dibuat terhadap mereka.

Ini adalah tempoh paling mencabar buat kepimpinan ulama Iran sejak Revolusi Islam 1979, apabila protes besar-besaran berlangsung selama tujuh minggu di neagra itu yang menyaksikan tindakan keras termasuk menyebabkan kematian dan sehingga kini ia bertambah parah.

Pihak berkuasa Iran menuduh musuh ketatnya Amerika Syarikat (AS) dan Israel memainkan peranan dengan menempatkan ejen mereka di sebalik kekacauan yang menggungat kestabilan negara itu.

Tunjuk perasaan yang dianjurkan mengakibatkan kematian gadis Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan pihak berkuasa agama kerana berpakaian tidak sopan.

Mahdi Jafargholizadeh memenangi beberapa pingat untuk Iran dalam kejohanan karate antarabangsa.

Bekas juara karate, Mahdi Jafargholizadeh berkata, dia sendiri pernah diseksa pihak berkuasa negara itu pada  2004 sebelum berjaya melarikan diri ke Jerman.

“Bola sepak adalah cara terbaik untuk kami berkongsi suara. Di sana langsung tiada jaringan internet yang boleh menghubungkan dalam dan luar Iran, jadi bagaimana orang di sana mahu mendengar khabar daripada kami?

“Alasan utama mengapa FIFA mesti menggantung pasukan bola sepak Iran adalah semua orang di seluruh dunia akan bertanya, apa jadi dengan Iran,” kata Mahdi.

Daripada 2019, kira-kira 40 tahun berlalu, ribuan wanita dibenarkan memasuki stadium di Iran untuk menonton bola sepak yang dimainkan lelaki dan FIFA secara berterusan menjalin dialog dengan kerajaan Iran agar menjadikan kelonggaran itu sebagai kebiasaan.

Namun, adalah amalan biasa di Iran apabila wanita dilarang menghadiri stadiudm untuk menonton perlawanan.

“Jika FIFA mengakui badan bola sepak Iran tidak mengikut undang-undang, sekurang-kurangnya pegang pada kata-kata anda.

“Awak (FIFA) kata sebarang diskriminasi bertentangan dengan undangn-undang dan wanita tidak dibenarkan menonton bola sepak di Iran atau bermain tanpa hijab,” kata Mahdi.

Ali Daei tidak bersetuju jika pasukan bola sepak mereka dihalang menyertai Piala Dunia.

Bekas pemain kebangsaan Iran, Ali Daei dan Ali Karimi turut menyokong penunjuk perasaan namun tidak bersetuju jika pasukan bola sepak mereka dihalang menyertai Piala Dunia.

Persatuan Bola Sepak Ukraine membuat rayuan kepada FIFA supaya Iran turut digantung atas tuduhan Tehran membekalkan senjata keapda Russia bagi membantu serangan ke atas Ukraine.

Rusia menggelar tindakan mereka ke atas Ukraine sebagai “Operasi Khas” untuk menghapus ancaraman keselamatan namun FIFA menggantung Rusia daripada beraksi di pentas antarabangsa awal tahun ini, sekali gus negara itu tersingkir dari Piala Dunia.