JAWATAN Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) menarik minat ramai pihak apabila lebih daripada 19 permohonan diterima bagi mengisi kekosongan tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, proses pemilihan sedang dijalankan dengan teliti untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan ISN dalam menyokong atlet negara, khususnya menjelang temasya sukan akan datang.
“Sesi town hall telah diadakan bersama pengurusan tertinggi ISN untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai calon-calon berpotensi.
“Kita mahu memastikan pandangan staf ISN diambil kira supaya proses ini dapat dijalankan dengan lancar tanpa mengganggu persiapan atlet negara,” katanya, pada majlis penyerahan kereta kepada pemenang pingat emas dan perak Paralimpik Paris, yang menerima tawaran diskaun daripada sebuah pengeluar kereta jenama dari China.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu proses pemilihan CEO ISN yang baharu berjalan dengan baik.
Tambahnya lagi, proses temuduga akan dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KSU KBS) dengan mengambil kira kelayakan dan kebolehan calon.
“Ini adalah proses biasa di mana CEO sedia ada telah tamat tempoh perkhidmatan dan perlu menjalani rotation seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” jelasnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa permohonan diterima daripada calon dalaman dan juga pihak luar, menunjukkan minat yang tinggi terhadap jawatan tersebut.
“Setakat ini, saya belum menerima angka terkini, tetapi permohonan telah melebihi 19 calon,” tambahnya.

Menteri Beia dan Sukan, Hannah Yeoh gembira dengan sokongan pihak swasta kepada arena sukan tanah air.
ISN memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kepada atlet negara, termasuk sokongan sains sukan, pemulihan, dan latihan prestasi tinggi.
Justeru, peralihan kepimpinan ini diharapkan tidak akan menjejaskan usaha dan fokus terhadap kejayaan atlet Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ahmad Faedzal Md Ramli yang memulakan perkhidmatannya sebagai CEO ISN pada 25 Feb 2019 mengesahkan perkhidmatannya yang akan berakhir 24 Februari depan, tidak akan disambung Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).