LIVERPOOL sepatutnya mudah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, namun memilih bermain santai seperti dipamerkan para pemain di Anfield yang hampir memakan diri.
Penyerang, Diogo Jota menyifatkan Liverpool telah membuat silap dengan melepaskan gol mudah ketika sedang selesa pada kedudukan empat gol.
“Mereka dapat skor gol dengan mudahnya, tapi jujur ketika kami di dedpan 6-2, mungkin kami terlalu santai dan seharusnya tidak melakukan itu,” kata pemain berasal dari Portugal dipetik BBC Sport.
Berbekalkan modal kemenangan 3-1 dari pusingan pertama suku akhir, The Reds yang melakukan tujuh pertukaran pemain melayan kunjungan Benfica menerusi gol pembukaan Ibrahima Konate minit ke-21 sebelum disamakan Goncalo Ramos m-33.
Pada babak kedua, Roberto Firmino menambah lagi dua jaringan pada m-55 dan m-65 dan selesa agregat 6-2. Namun, Liverpool seolah-olah membiarkan Benfica mengambilalih permainan.
Gawang Alisson Becker tiba-tiba bocor dengan dua gol pada 20 minit terakhir perlawanan dari Roman Yaremchuk dan Darwin Nunez sehingga kedudukan menjadi 3-3.
Benfica nyaris meledak gol keempat di masa kecederaan namun dibatalkan pengadil kerana Nunez offside.
Liverpool akhirnya melangkah ke separuh akhir untuk menentang Villarreal.