PENYERANG import Imigresen FC, Thankgod Michael mengakui dia berpuas hati dengan prestasi semasa yang ditunjukkannya tetapi masih terlalu awal buatnya untuk mendabik dada meskipun kini mendahului senarai penjaring.

Pemain kelahiran Nigeria itu sudah menjaringkan lima gol dari empat perlawanan namun menegaskan dia masih perlu bekerja keras bagi memastikan dia dapat membantu kelabnya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Ini kerana dia sedar semua pasukan yang bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 mahu menewaskan mereka dan oleh itu dia berharap rakan-rakan sepasukannya sentiasa memberikan aksi terbaik.

Thankgod Michael gembira dengan prestasi semasa dirinya

“Saya gembira dengan prestasi semasa tetapi saya masih perlu bekerja keras dan berikan lebih lagi kepada pasukan dan karier saya kerana musim masih panjang dan semua dalam pasukan juga perlu bekerja keras.

“Ini tahun pertama saya di Malaysia dan dalam beberapa perlawanan, saya telah berikan segalanya namun masih perlu bekerja keras untuk menjadi penjaring terbanyak liga pada penghujung musim.

“Sudah tentu sebagai penyandang juara, setiap lawan mahu tewaskan kami kerana anda akan bergelar juara jika tewaskan juara. Oleh itu kami juga perlu kekalkan fokus serta konsisten untuk mempertahankan kejuaraan.

Pemain-pemain Imigresen FC giat menjalani latihan

Semua pihak dari jurulatih hingga pemain melakukan tugas yang baik dan pemain berada dalam keadaan yang harmoni dimana ianya adalah nilai tambah dalam pasukan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN ketika sesi latihan rasmi.

Thankgod juga gembira dengan persiapan pasukan untuk menghadapi PT Athletic dan dia meletakkan sasaran untuk membantu pasukan mencipta kemenangan disamping mahu mendapat perhatian kelab-kelab Liga Super dengan aksi yang ditunjukkan.

“Untuk aksi bertemu PT Athletic, persiapan pasukan sangat baik setakat ini dan kami mahu kembali mencipta kemenangan selepas mencatat keputusan seri dalam perlawanan sebelum ini.

“Saya juga berharap saya dapat berikan saingan dalam liga ini dan akan mendapat perhatian daripada pasukan-pasukan Liga Super selepas ini berdasarkan kemampuan diri saya,” jelasnya.

Imigresen FC kini ditangga ketiga carta liga berkongsi 10 mata bersama-sama Kuala Lumpur Rovers, Bunga Raya Damansara dan Melaka FC namun dibezakan perbezaan jaringan.