KETIKA pasukan lain sudah tutup buku selepas musim Liga Super 2024-2025, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus dihimpit isu sama — tunggakan gaji sehingga tujuh bulan.

Ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya mengakui pemain dan staf kejurulatihan terpaksa berkorban, malah guna duit sendiri beraksi ke tempat lawan demi pastikan pasukan terus beraksi.

“Bayangkan ada yang naik kereta sendiri, belanja pun sendiri. Kami bukan minta lebih, cuma nak hak yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Flash Sukan.

Biarpun dihimpit tekanan, Rezal tabik semangat anak buahnya yang kekal setia walaupun poket kosong, hidup terjejas, dan tanggungan keluarga terbeban.

“Kita habis juga liga. Kita bantu dari segi teknikal, pastikan Kelantan kekal bersaing. Tapi sampai bila pihak pengurusan nak diam diri?” katanya lagi.

Menurutnya, pengurusan hanya beri janji lisan untuk bayar sebulan dulu, tapi sampai sekarang tiada sebarang pertemuan rasmi dibuat.

“Semua masih profesional, tapi kalau sampai hujung bulan ni tiada penyelesaian, kami akan bawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM,” tegasnya.

Katanya, isu ini bukan hanya soal gaji tetapi maruah pemain dan kredibiliti liga: “Kami bukan saja jaga pasukan, tapi imej bola sepak negara.”

KDN FC kini menamatkan musim dengan episod suram apabila tewas 5-2 kepada KL City FC di laman sendiri semalam, sekali gus kekal di tangga tercorot Liga Super.