PENYERANG lincah Terengganu FC, Muhammad Faisal Abdul Halim mengesahkan bahawa dia tidak lagi akan bersama Terengganu FC pada saingan liga Malaysia musim hadapan.
Pemain berasal dari Pulau Pinang itu juga menyatakan dia hanyalah orang biasa yang bekerja keras untuk pasukan.
“Malam tadi adalah malam terakhir saya bersama Terengganu. Saya cuba buat yang terbaik tetapi saya gagal bermakna saya belum bagus untuk diangkat sebagai pemain star dan sebagainya,” jelasnya kepada media.
Mesra disapa Mickey, dia juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Terengganu serta jurulatih, Mohd Nafuzi Muhammad Zain yang sering menjadi tulang belakang dalam karier gemilangnya bersama Turtles.
“Terima kasih buat pengurusan Terengganu kerana menjaga saya dengan baik selama tempoh dua tahun saya di sini. Saya juga ingin mendoakan pasukan Terengganu akan lebih berjaya dari tahun ini,” katanya.
Baginya, dia telah memberikan segala-galanya namun usaha tersebut masih belum cukup melayakkan Terengganu FC ke pentas akhir Piala Malaysia.
“Sudah tentu, kita semua sudah cuba yang terbaik. Tetapi, ini sahaja setakat yang kita mampu. Saya ke kiri ke kanan, ke bawah, tengah, tetapi kita gagal. Saya telah cuba bawa Terengganu ke final sekali lagi.
“Saya percaya rezeki yang kita ada sudah mencukupi. Terengganu sudah layak ke Asia dan kita nombor dua dalam Liga Super,” kongsinya.
Faisal juga sebenarnya berasa agak berat untuk meninggalkan pasukan ini kerana telah sebati bersama skuad yang mengangkat namanya sebagai pemain lebih baik.
“Memang satu pasukan yang luarbiasa buat saya. Sebenarnya saya tidak mahu keluar dari pasukan Terengganu. Jodoh saya tidak panjang,” ujarnya.
Dia juga tidak menolak seandainya dipanggil semula bersama skuad Penyu pada masa hadapan serta dia akan kembali bersama jurulatih pasukan tersebut, Nafuzi Zain.
“Sebenarnya saya tidak mahu keluar dari pasukan Terengganu, mungkin jodoh saya tidak panjang. Sudah tentu kalau ada peluang dan ruang, saya akan kembali bersama Terengganu. Saya akan kembali ke coach Nafuzi pada bila-bila masa yang tepat,” dedahnya.