KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menegaskan kemenangan 2-1 ke atas Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 semalam bukan sahaja membawa kegembiraan, malah sarat dengan pengajaran penting untuk pasukan negara.

Menurutnya, walaupun ada ketika asas permainan tidak berjalan seperti dirancang sehingga membuatkan skuad kebangsaan sedikit bergelut, semangat kental pemain bertahan menjadi kunci untuk mengekalkan kelebihan. Clamovski memuji sikap anak buahnya yang sanggup berjuang hingga wisel penamat.

 

“Pertama sekali, memang bagus untuk raih kemenangan. Banyak perkara yang boleh kami pelajari daripada perlawanan ini. Bila asas permainan tidak dilaksanakan dengan baik, permainan jadi agak berpecah-pecah dan itu buatkan ia lebih sukar untuk kami. Tapi pemain menunjukkan daya juang yang tinggi dan bertahan dengan baik,” katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih kelahiran Australia itu turut berpuas hati apabila beberapa gerakan serangan skuad negara berjaya membuahkan hasil. Gol daripada Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo menjadi bukti bahawa Malaysia mampu menghukum lawan jika berpeluang di kawasan berbahaya.

“Positifnya, kami dapat menghubungkan beberapa fasa permainan yang baik, berjaya membawa bola ke kawasan yang sepatutnya dan memperoleh ganjaran daripadanya. Itu sangat menggembirakan,” tambahnya.

Clamovski menyifatkan kemenangan ini sebagai bukti Harimau Malaya semakin berkembang, namun pada masa sama menegaskan tiada perlawanan yang mudah di peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhan, saya bangga dengan pemain kerana membawa kemenangan buat negara. Tiada perlawanan yang senang dan malam ini sekali lagi membuktikannya. Kami menghormati Singapura sebagai lawan yang baik. Apa yang penting, kami akan terus belajar daripada kemenangan ini dan terus membina bola sepak kita,” jelasnya.