PENYERANG skuad wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli menganggap jaringan pertamanya untuk Malayan Tigress adalah ibarat dunia buat dirinya kerana memahami betapa sukarnya pengorbanan yang dialaminya dan rakan-rakan sepasukan dalam menghadapi temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Intan berjaya meledak satu jaringan ketika skuad negara tewas 1-5 kepada Myanmar dan itu adalah satu-satunya jaringan yang dapat dihasilkan skuad kendalian Soleen Al-Zoubi itu namun ianya sudah cukup membanggakan diri Intan yang melakukan debut bersama skuad Malayan Tigress.
Dia yang ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Phnom Penh nyata gembira dan berterima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan yang banyak membantunya menyesuaikan diri sebagai penyerang dalam skuad bola sepak kerana dia lebih sinonim dengan permainan futsal.
Skuad Malayan Tigress selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas menamatkan kempen acara bola sepak wanita di Temasya Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja#fam#malayantigress pic.twitter.com/QewdFGu92v
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 11, 2023
“Saya lihat ini sebagai pengalaman berharga buat saya kerana ini kali pertama saya mewakil negara dalam bola sepak wanita. Ini satu langkah yang baik untuk saya sendiri dan pasukan ini kerana ada perubahan dari segi permainan dan saya harap ianya akan lebih berkembang selepas ini.
“Dianggap sebagai ‘role model’ dalam bola sepak wanita sudah pasti memberikan tekanan namun jurulatih terapkan kepada kami supaya fokus dalam perlawanan dan tidak memikirkan tentang apa yang dikatakan oleh orang ramai terutama di media sosial. Saya sendiri tidak melihat media sosial pada hari perlawanan dan selepas perlawanan.
“Bukan mudah saya hendak sesuaikan diri sebagai penyerang kerana saya sinonim dengan futsal. Tetapi selepas banyak bermain dan mendapat minit permainan, saya berjaya mencipta sejarah buat bola sepak wanita kerana mendapatkan jaringan pertama buat pasukan wanita negara dalam Sukan SEA.
“Tanpa pasukan, saya tidak akan dapat jaringan itu. Semua tahu bukan mudah bertemu pasukan yang lebih baik dari kami dan bila dapat jaringkan gol ianya sangat berharga buat saya dan pasukan walaupun mungkin ramai yang menganggap ianya tidak berharga,” katanya penuh bangga.
Gadis berusia 24 tahun itu juga tidak menjangka akan mendapat komen positif daripada Soleen yang menganggap dirinya sebagai pemain penyerang yang baik dan dia mahu jadikan komen itu sebagai semangat buatnya untuk terus menghasilkan jaringan buat Malayan Tigress.
“Sudah tentu bila dapat komen positif dari jurulatih yang tegas, saya terkejut kerana dapat pujian darinya dan ini memberikan semangat buat saya untuk mencetak lebih banyak gol buat negara selepas ini,” tambahnya.
Skuad negara menamatkan cabaran di Kemboja dengan tiga kekalahan berturut-turut namun mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menyaingi kuasa besar bola sepak wanita Asia Tenggara, Vietnam, Filipina dan Myanmar serta menunjukkan potensi untuk muncul sebagai kuasa yang boleh digeruni pada masa akan datang.