KEJOHANAN Perodua Malaysia Masters 2025 bakal menyaksikan pertarungan ‘adik-abang’ di suku akhir beregu lelaki apabila dua pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, esok.

Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu mengesahkan slot ke lapan terbaik selepas menewaskan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-17, 21-13 dalam aksi 32 minit di Axiata Arena.

Tee Kai Wun menyifatkan kejayaan itu sebagai pemulih semangat selepas mereka gagal melepasi halangan awal dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Kami cuba bangkit perlahan-lahan dan prestasi pun makin stabil sejak kebelakangan ini,” katanya yang turut mengakui tahap keyakinan mereka semakin meningkat.

Wei Chong pula menjelaskan fokus kini terarah kepada mengekalkan konsistensi kerana itu menjadi kunci utama untuk terus melangkah jauh.

Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin tampil bergaya apabila menundukkan pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-19, 21-12 dalam masa 30 minit dengan Sze Fei mengakui, “Saya rasa game plan yang jurulatih bagi, menjadi.”

Izzuddin pula percaya mereka belum mencapai tahap sebenar apabila berkata, “Kami boleh bermain lebih baik kerana belum keluarkan permainan terbaik setakat ini.”