PEARLY Tan-M Thinaah membuktikan kuasa komunikasi mampu jadi senjata paling tajam ketika mereka memadamkan cabaran gandingan adik beradik Bulgaria, Gabriela-Stefani Stoeva dengan kemenangan mudah 21-15, 21-10 hanya dalam masa 32 minit di suku akhir beregu wanita, pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Paris.

Thinaah mengakui kejayaan itu cukup bermakna kerana mereka pernah terkandas hampir di pentas sama, namun kali ini tampil lebih matang dan berdisiplin.

“Hari ini kami berjaya, tapi misi belum selesai… kami akan terus berbincang dengan jurulatih dan sesama sendiri untuk perlawanan seterusnya,” tegas Thinaah penuh bersemangat kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pearly pula tidak berselindung bahawa strategi yang dirangka sejak semalam benar-benar menjadi, sekali gus memberi keyakinan penuh kepada corak permainan mereka.

“Kami ada berbincang panjang sebelum turun ke gelanggang, dan ia berfungsi dengan baik, jadi saya mahu momentum ini terus mengalir,” ujar Pearly.

Di separuh akhir esok, gandingan nombor 2 dunia itu akan berdepan cabaran getir, menentang Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun yang mengguli 13 daripada 15 pertemuan.

Namun, pada pertembungan terakhir kedua-dua pasangan itu pada separuh akhir Terbuka Jepun, Julai lalu dimenangi Pearly-Thinaah.