BEKAS bintang Real Madrid, Sami Khedira, menyifatkan Mesut Ozil sebagai pemain paling istimewa yang pernah bermain di Santiago Bernabeu, mengatasi Cristiano Ronaldo.

Dalam satu wawancara bersama Marca, Khedira mendedahkan bahawa Ozil adalah seorang genius yang mampu mengawal bola dengan penuh kelas dan kualiti, menjadikannya pemain yang sangat istimewa dalam skuad Los Blancos.

Khedira, yang beraksi bersama Real Madrid dari tahun 2010 hingga 2015, turut mengakui bahawa keputusan presiden kelab, Florentino Perez, untuk menjual Ozil ke Arsenal pada musim panas 2013 mengejutkan seluruh bilik persalinan pasukan.

Sami Khedira dan Mesut Ozil sama-sama menyertai Real Madrid pada tahun 2010 selepas penampilan cemerlang mereka di Piala Dunia FIFA 2010.

Bukan sahaja Khedira, malah pemain-pemain bintang seperti Ronaldo, Karim Benzema dan Sergio Ramos turut mempertikaikan keputusan tersebut.

“Semua orang faham untuk memenangi perlawanan, Cristiano adalah orangnya kerana dia tidak pernah gagal dan dia sentiasa ada.

“Bila kami perlukan gol, kami hantarkan bola kepadanya. Tapi, bagi saya, pemain paling istimewa ialah Mesut Ozil dan saya boleh jelaskan dengan pemergiannya,” ujar Khedira.

Mengingat kembali sewaktu hari Mesut Ozil meninggalkan Los Blancos, seluruh pasukan memeprtikaikan keputusan yang dibuat oleh Florentino.

“Kami semua bertanya kepada Florentino kenapa anda menjualnya, kami semua berkata begitu, bukan saya seorang, Benzema, Cristiano, Ramos.

“Mesut Ozil adalah genius mutlak, seorang ahli silap mata sebenar dan saya bermain di belakangnya. Jika anda berikan hantaran yang buruk, dia tetap dapat mengawal bola dengan mudah.

“Saya benar-benar tidak pernah lihat pemain dengan kelas dan kualiti seperti itu,” tambah Khedira. 

Sami Khedira dan Mesut Ozil antara yang menjadi sebahagian daripada skuad Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 buat kali keempat dalam sejarah negara itu.

Selain itu, Khedira turut mendedahkan bahawa Ozil sendiri mengakui perpindahannya ke Arsenal adalah satu kesilapan besar dalam kerjayanya.

“Dia pernah memberitahu saya bahawa ia adalah kesilapan besar untuk meninggalkan Madrid kerana dia mempunyai segala-galanya di sana dan Bernabeu sangat menyayanginya.”

Ozil mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional pada usia 34 tahun selepas penampilan terakhirnya bersama kelab Turki, Istanbul Basaksehir.

Kini, bekas bintang Jerman itu menjalani kehidupan bersama keluarganya, jauh daripada dunia bola sepak.