BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memulakan langkah cemerlang dengan kemenangan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B pada kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China pada Rabu.
Pasangan ini membuat kebangkitan luar biasa untuk menewaskan rakan senegara dan pemain profesional, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie, dengan keputusan 14-21, 21-10, 21-14.
Dengan kemenangan ini, rekod pertemuan antara dua pasangan terbaik negara kini seimbang pada 3-3.
Tang Jie dan Ee Wei dijadualkan menentang Dejan Ferdinansyah dan Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia dalam perlawanan seterusnya. Kemenangan ke atas pasangan Indonesia ini boleh memastikan tempat mereka ke separuh akhir.
Bagi Soon Huat dan Shevon, cabaran besar menanti apabila mereka perlu menewaskan Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito dari Jepun untuk terus kekal dalam kejohanan.