LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) belum bersedia untuk menukar kembali struktur liga dengan melaksanakan divisyen kedua dalam Liga Bola Sepak Malaysia pada musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi pelaksanaan Liga Perdana tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat kerana memerlukan persiapan yang lebih rapi.

“Untuk tahun depan? Terlalu lewat… untuk menambah dan memikirkan serta mencuba mengadakan Liga Perdana seperti sebelumnya, kami memerlukan masa untuk menyediakan segala-galanya.

“Jadi, kami akan pertimbangkan kemudian. Saya tidak mengatakan ya atau tidak, tetapi saya mengatakan bahawa untuk melaksanakan perubahan seperti ini, kami tidak boleh melakukannya hari ini atau esok,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Media bersama CEO MFL di Paradigm Mall, Petaling Jaya pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Media bersama CEO MFL di Paradigm Mall, Petaling Jaya pagi Jumaat.

Beliau juga menekankan bahawa perubahan besar seperti ini memerlukan persediaan yang terperinci dan masa yang mencukupi, dan adalah mustahil untuk melihat Liga Perdana diperkenalkan pada musim depan.

Walau bagaimanapun, Rossi memberi bayangan bahawa MFL masih terbuka untuk menimbangkan cadangan tersebut pada masa akan datang, namun penyokong bola sepak tempatan tidak boleh mengharapkan perubahan drastik berlaku secepat mungkin.

Rossi dilantik sebagai CEO pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) yang baharu pada 5 september lepas selama empat tahun.

Kontrak Giorgio Pompili Rossi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) selama empat tahun.

Pelantikan Pompili Rossi melengkapkan carta organisasi MFL menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN : CEO MFL datang bukan untuk berjanji, perubahan Liga Malaysia makan masa