PENGELUAR barangan sukan terkemuka Jepun, Mizuno, melakar sejarah baharu di Malaysia menerusi pelancaran inisiatif “The Next Chapter”, yang menyaksikan kerjasama eksklusif dengan sembilan atlet elit daripada lima disiplin sukan.

Inisiatif ini menampilkan komitmen Mizuno dalam menyokong pembangunan sukan tanah air melalui kerjasama dengan pemain hoki kebangsaan Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius; atlet olahraga Ahmad Luth Hamizan; pemain golf profesional Nicholas Fung; serta bakat muda badminton, Shaqeem Eiman Shahyar.

Turut serta adalah empat pemain bola sepak kebangsaan, iaitu Daniel Ting, Dominic Tan, Afiq Fazail, Feroz Baharudin, Shahrul Nizam Ros Hasni, dan Azam Azmi Murad.

Dua pemain hoki kebangsaan, Shello Silverius dan Azrai Aizad Abu Kamal, turut menjadi duta Mizuno.

Pengurus Negara Mizuno Malaysia, Darren Wong, menyatakan bahawa inisiatif ini menandakan permulaan era baharu bagi jenama tersebut di Malaysia.

“The Next Chapter ini melambangkan komitmen kami terhadap pembangunan sukan di Malaysia. Fokus utama kami adalah untuk menyokong atlet elit negara dan menyumbang kepada kejayaan sukan tanah air,” katanya dalam sidang media.

Beliau turut menekankan kelebihan Mizuno dalam meningkatkan prestasi sukan di negara ini, boleh berlaku melalui pemahaman mendalam mengenai keperluan atlet dan inovasi global jenama tersebut.

“Gabungan pengetahuan dan teknologi inovatif, kami memberikan kelebihan unik untuk membantu meningkatkan pencapaian sukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Shaqeem Eiman Shahyar mendengar penjelasan daripada Pengurus Negara Mizuno Malaysia, Darren Wong.

Pelancaran inisiatif baharu itu juga memperkukuhkan momentum Mizuno di Malaysia, selepas menjadi penaja rasmi jersi untuk empat pasukan hoki kebangsaan di bawah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) iaitu pasukan wanita, remaja wanita, serta pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita.

Sebelum ini, Mizuno juga menjalin kerjasama dengan pelari pecut negara, Azeem Fahmi.

“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap sukan Malaysia.

“Setiap atlet telah menunjukkan bakat dan dedikasi luar biasa yang selari dengan nilai-nilai Mizuno. Kami di sini untuk menyokong perjalanan mereka dengan kualiti dan inovasi Mizuno yang cukup terkenal di seluruh dunia.”