KERAJAAN Madani serius dalam memastikan atlet negara meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris, apabila memperuntukkan RM72 juta, dalam usaha memperkukuh ekosistem atlet di bawah program podium.
Malah, sebahagian daripada peruntukan itu, RM20 juta akan dibelanjakan khusus kepada inisiatif Road to Gold (RTG) dalam usaha merealisasikan impian menggenggam emas pertama negara terutamanya di temasya Olimpik Paris 2024.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2024, memuji kejayaan wira tanah air yang mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou yang berjaya membawa pulang 32 pingat sekali gus melepasi sasaran ditetapkan iaitu 27 pingat.
“Tahun hadapan, Kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium. Ini termasuklah RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.
“Selain untuk menjadi aktif dan cergas, sukan juga ialah medan penting yang membina keakraban rakyat Malaysia. Walau berbeza kaum dan agama, kita tidak sedikit pun memadam kemarakan semangat kesukanan,” katanya ketika pembentangan di Dewan Rakyat.


Mohd Juwaidi Mazuki bersama atelt memanah negara, menjalani latihan di Kompleks Sukan Nilai. Persekitaran kompleks terbabit bagai terbiar tanpa penyelenggaraan rumput dan sebagainya.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia serta sukan di seluruh negara.
Pada masa sama, geran padanan RM50 juta disediakan bagi menggalakkan lagi penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh organisasi dan sektor swasta.


“Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000. Pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.
“Bagi melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berbakat dalam sukan, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan,” katanya.

E-Sukan menerima peruntukan besar.

Dalam pada itu, RM30 juta diperuntukkan untuk menjadikan negara sebagai hab pembangunan industri e-Sukan, menerusi penggalakan syarikat atau studio permainan video antarabangsa, melabur di Malaysia dan membangunkan produk digital bersama bakat tempatan.
Anwar turut mengumumkan pengurangan 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas artis antarabangsa, termasuk acara hiburan seperti penganjuran sukan dan permainan.


RM12 juta disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara untuk tujuan program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.
Sebagaimana permohonan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan pelepasan cukai khusus bagi pembelian peralatan sukan dan aktiviti sukan termasuk yuran latihan sehingga RM1,000.
Belanjawan kali ini juga tidak mengetepikan atlet para.
Anwar mengumumkan RM12 juta disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara untuk tujuan program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.