PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim, memuji Marcus Rashford selepas pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Everton di Old Trafford pada Ahad.
Amorim menegaskan Rashford perlu “mahu” untuk kembali ke prestasi terbaiknya seperti musim-musim terdahulu.
Dalam perlawanan itu, Rashford menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan buat kali pertama selepas 22 bulan.
“Dia perlu mahukannya untuk kembali ke tahap terbaik, apa yang dia tunjukkan hari ini sangat memberangsangkan dan dia telah menunjukkan keinginan yang kuat untuk bangkit,” kata Amorim selepas perlawanan.
Gol pertamanya hadir pada minit ke-34 hasil sepakan penjuru Bruno Fernandes yang kemudian terkena kaki pertahanan Everton, sebelum bola menerjah gawang.
Seterusnya, gol keduanya pula disempurnakan pada awal separuh masa kedua selepas menerima hantaran cantik daripada Amad Diallo.
Kemenangan ini menjadikan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam tiga perlawanan pertama Ruben Amorim sebagai pengurus.
Pengendali dari Portugal itu jelas membawa “new boss bounce” yang menghidupkan semula semangat dalam pasukan dan penyokong United sendiri.
Sebagai tambahan, Amorim turut mendapat sumbangan dua gol daripada Joshua Zirkzee, yang kini kembali menemui sentuhan jaringannya.
Selepas kemenangan meyakinkan ini, United akan bertandang ke Emirates untuk menghadapi Arsenal pada Khamis, ujian getir menanti Amorim dan anak buahnya untuk mengekalkan prestasi cemerlang mereka.