SKUAD JDT Futsal melakar kebangkitan dramatik ketika menewaskan Shah Alam City 6-5 sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024.
Dalam aksi di Pasir Gudang itu, skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia itu ketinggalan 0-3 pada 11 minit pertama permainan sebelum bangkit bergaya untuk mendahului 5-3 ketika aksi berbaki lima minit.
Ketika kemenangan kesembilan berturut-turut dilihat menjadi milik JDT, Shah Alam City bangkit menyamakan kedudukan 5-5 dengan permainan berbaki satu minit untuk ditamatkan.

Bergson, Endrick dan Murilo meluangkan masa memberi sokongan kepada JDT Futsal (kredit foto: JDT Futsal)
Namun, pemain-pemain JDT ditambah kehadiran tiga trio Brazil skuad utama Johor Darul Ta’zim, Bergson Da Silva, Endrick Dos Santos dan Murilo Santos di tempat duduk penonton bangkit sekali lagi dengan gol kemenangan pada minit terakhir untuk mengesahkan tiga mata.
Juan Antonio terpaksa menggunakan taktikal ‘power play’ pada majoriti permainan babak pertama selepas dikejutkan tiga jaringan Shah Alam dan ianya terbukti berkesan apabila Firdaus Ambiah menjaringkan dua gol dan Bruno Taffy menyumbang satu gol.

JDT Futsal pamer kebangkitan dramatik tewaskan Shah Alam City (kredit foto: JDT Futsal)
Bruno Taffy membuktikan pembeliannya berbaloi apabila jaringannya memastikan kemenangan buat Harimau Selatan dan kini selesa mendahului 11 mata di persada liga tetapi berkelebihan satu perlawanan berbanding Pahang Rangers.
Dalam dua lagi aksi MPFL minggu kesembilan, Terengganu mencipta kejutan menewaskan Gombak TOT United 5-3 manakala Selangor FC menewaskan KL City 4-2.