Select Page

Muay Thai Remaja Dunia:’Tendangan lutut’ Putra singkirkan atlet Mexico

Muay Thai Remaja Dunia:’Tendangan lutut’ Putra singkirkan atlet Mexico

ATLET muda Muay Thai negara, Putra Abdullah Mahmoud (Kategori Junior 16-17 Tahun) yang beraksi dalam acara 57 Kilogram mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia pada Sabtu.

Putra meraih kemenangan apabila membenam cabaran atlet Mexico, Axel Manzanares Loredo dengan kemenangan tiga pusingan 10-9 10-9 10-9.

Atlet remaja berusia 17 tahun itu yakin mampu menghadirkan kilauan emas selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam pertarungan sulung bertemu atlet antarbangsa itu.

Lebih manis lagi, Putra tampil pada prestasi terbaiknya apabila tendangan menggunakan lututnya tepat ke arah lawan menyebabkan lawannya itu hampir tumbang dan  mengalami lebam di mata kiri.

Putra sedang mengumpan lawan mengikut rentaknya.

“Memang gembira sangat. Saya memang sasarkan emas untuk berikan kepada keluarga dan hendak menunjukkan kepada persatuan yang saya boleh buat. Saya memang hendak emas itu.

“Pertama sekali, dia memang tidak mahu senyum langsung dengan saya. Jadi saya macam fikir dia ini nak bunuh saya ke apa? Kita berlatih secara keras, jangan tengok pada muka tengok pada hati. Semalam lawan dengan Chinese Taipei, Chinese Taipei kena teruk dengan dia. Bila dia main mengikut cara saya, dia jadi seakan mati akal, ” jelasnya kepada FLASH SUKAN selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, atlet kacukan Malaysia-Jordan itu nyata tidak gentar berhadapan lawan dari Rusia dalam aksi separuh akhir meskipun sedar lawannya memiliki kelebihan dari segi fizikal dan stamina.

Peluang keemasan Putra melakukan tumbukan tepat ke arah lawan dari Mexico.

Taktikal yang digunakan dilihat berkesan dengan mengumpan lawan mengikut rentak atlet Malaysia dan seterusnya menghidu peluang melepaskan tumbukan dan tendangan untuk melakukan ‘knockout’ (K. O.) bagi menumbangkan lawan.

“Perlawanan seterusnya lawan Rusia, ramai yang kata Rusia adalah satu pencabar yang kuat tetapi Putra tidak kisah dan akan buat sehabis baik.

“Mungkin mereka punya stamina gila, mungkin dia punya teknik laju. Tidak mengapa, mungkin saya akan buat dia ikut rentak saya. Jangan kelam-kabut ikut rentak dia,” tambahnya.

Untuk rekod, Putra berjaya merangkul emas  dalam Kejohanan Muay Thai Kebangsaan di  Kuala Lumpur pada 2018,  Selangor pada 2019 dan Kuantan pada 2022 manakala pingat perak diraih di Johor pada 2019, Bukit Jalil 2019 dan Kelantan pada 2022.

Video Terkini

Loading...