RAFAEL Nadal mempamerkan prestasi menakjubkan sejak kembali beraksi dalam acara perseorangan, selepas berjaya menewaskan Dominic Thiem dari Austria dengan keputusan straight set di Kejohanan Anatarabangsa Brisbane.

Juara 22 kali Grand Slam itu, beraksi dalam acara perseorangan buat kali pertama selepas berehat panjang akibat kecederaan dialami musim lalu.

“Hari ini hari yang sangat emosional dan penting, mungkin disebabkan detik sukar saya lalui sepanjang tahun,” kata Nadal selepas memenangi perlawanan pusingan pertama.

Terdahulu, Nadal beraksi dalam acara beregu bersama gandingannya, Marc Lopez pada Ahad, yang menyaksikan pasangan Sepanyol itu tewas kepada gandingan Australia, Max Purcell-Jordan Thompson.

Pada Mei lalu, Nadal, 37, berkata, tahun 2024 bakal menjadi tahun terakhirnya menyertai kejohanan jelajah dunia.

“Anda tidak pasti apa akan berlaku, saya hanya boleh meramal bagaimana keadaan saya untuk enam bulan akan datang,” kata Nadal, sekali gus memungkinkan dia akan terus bermain sekiranya tidak mengalami kecederaan.

Di pusingan kedua esok, Nadal akan berdepan pemain tuan rumah, Jason Kubler.

Kejohanan Antarabangsa Brisbane menjadi pemanas badan kepada pemain sebelum beraksi di Terbuka Australia dan Nadal berharap dapat kembali beraksi dalam Grand Slam di Melbourne hujung bulan ini.

Untuk rekod, Nadal dua kali menjuarai Grand Slam di Melbourne. -Agensi