SKUAD Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan apabila berhadapan Kelantan Darul Naim FC (KDN) dalam saingan Liga Super 2024-25 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain menyatakan selepas melepasi halangan Penang FC pada suku akhir Piala FA lalu, skuadnya kini kembali memberi fokus kepada saingan Liga Super dengan pasukan Kijang Emas bakal menjadi ujian.

“Kami mahu kekalkan rentak kemenangan dalam Liga Super bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta dimana kita kini berada di tangga kesembilan selepas menang ke atas Penang FC sebelum ini.

Nafuzi mahu para pemain berikan tumpuan sepenuhnya untuk aksi bertemu Kelantan Darul Naim

“Aksi di laman sendiri kali ini juga bakal memberi peluang terbaik untuk semua pemain yang sedang membina kembali kecergasan menjelang aksi Jumaat ini.

“Faktor kecergasan memainkan peranan penting buat masa ini bagi memastikan kami kembali bersedia dan berada pada tahap kecergasan terbaik untuk berdepan semula cabaran Liga Super,” katanya.

Nafuzi juga menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah ancaman yang akan diberikan KDN FC meskipun beraksi di depan penyokong sendiri dan mahu para pemain memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan ini.

Ribuan penyokong diharap dapat memenuhi Stadium Darul Aman pada Jumaat

“Ada dua atau tiga pemain yang mungkin keletihan dan mengalami sedikit kecederaan, saya jangka akan melakukan sedikit perubahan apabila turun semula pada saingan Liga Super selepas ini.

“Meskipun KDN FC tidak berada dalam kelompok pasukan atasan Liga Super, skuad Kijang Emas mampu menggugat dan memberi ancaman yang kuat kepada Kedah di benteng pertahanan kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri dan kami perlu lebih berwaspada,” jelasnya.

Sang Kenari kini ditangga kesembilan Liga Super dengan tiga mata dari empat perlawanan manakala skuad Kijang Emas masih di tangga ke-12 dari 13 pasukan yang bertanding.