PASANGAN nombor 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di landasan tepat untuk membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik 2024.
Keyakinan itu diukur berdasarkan prestasi dipamerkan gandingan terbabit selepas hampir sebulan menjalani latihan intensif di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yang berpengalaman luas baik sebagai pemain mahupun jurulatih berkata, persiapan yang cukup baik dan faktor penerimaan yang ditunjukkan dua atlet itu, menerbitkan satu perasaan yakinnya bahawa Malaysia akan membawa pulang pingat emas.
Malah pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu juga yakin, dua lagi wakil dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan membawa pulang pingat.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpotensi besar memenangi pingat emas di Temasya Paris.
“Dari segi prestasi, semua pasangan ke Olimpik terutamanya beregu lelaki adalah setara dan menjelang Temasya Paris, setiap pemain akan berada di bawah tahap tekanan tinggi, bukan pemain kita sahaja pemain dari negara lain juga.
“Merujuk kepada Aaron-Wooi Yik, selama saya melihat persiapan mereka… cukup bagus dan saya melihat apa yang Fred (Frederick Tan, Pakar Psikologi) lakukan meningkatkan kekuatan mental mereja dan itu adalah satu kelebihan,” kata Rexy.

Pearly-Thinaah perlu melupakan status sebagai gandingan yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik bagi mengurangkan tekanan.
Menurutnya, dengan berbaki kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum Olimpik Paris bermula, beliau yakin situasi dihadapi pemain negara kebelakangan ini, mampu bertukar sebaliknya.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan Pearly-Thinaah mampu mencabar kejuaraan.
“Situasi (kekurangan) bagi Pearly-Thinaah mungkin dari segi Olimpik menjadi pengalaman pertama buat mereka tetapi kita harus bantu mengatasinya.

Toh Ee Wei-Chen Tang Jie memberikan 100 peratus komitmen dalam latihan.
“Kadang-kadang pemain yang baru kali pertama ke Olimpik akan banyak fikir dan hilang fokus, tetapi boleh berlaku sebaliknya sebagaimana dicapai pemain Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu yang memenangi pingat emas beregu wanita di Olimpik Tokyo,” ujar Rexy, yang menceritakan bagaimana Greysia-Apriyani membawa pulang pingat emas pertama dalam beregu wanita Indonesia.
Temasya Tokyo menjadi penampilan kedua Greysia dalam beregu wanita, namun yang pertama buat Apriyani dan mereka layak ke temasya sukan terbesar dunia itu ketika menduduki ranking kelapan dunia.