Select Page

Hannah kecam kenyataan Guang Yik

Hannah kecam kenyataan Guang Yik

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya ucapan bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Bong Guang Yik dimedia sosial yang berbaur perkauman dan pertikaian agama.

Tegasnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mendapatkan maklumat dan semakan daripada Majlis Sukan Negara dan BAM mengenai status Guang Yik.

“Saya sudah semak dengan KBS dan BAM, beliau bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 (9 tahun yang lalu) dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf,” ujarnya.

Tambah Hannah, dia percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet serta sukan dan ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.

“Saya ulangi pendirian, sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.

Terdahulu Guang Yik dikatakan telah membuat ucapan dimedia sosial yang berbaur perkauman dan pertikaian agama yang nyata mengundang rasa tidak puas hati orang ramai dan mendesak agak hukuman dikenakan ke atasnya.

Sebelum ini pemain skuad hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023.

Ini selepas Hanis didapati bersalah kerana telah memuat naik ciapan di Twitter yang berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.