NASIB pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli hanya akan diketahui selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selesai bersidang dalam masa terdekat.
Ini selepas Intan telah mencetuskan kontroversi apabila telah mengkritik percaturan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E, Piala Asia 2023 ketika menentang Republik Korea Selatan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika sesi sidang media yang diadakan di Wisma FAM Kelana Jaya pada Selasa.
“Kita bagi pihak Unit Undang-Undang sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Intan Serah pada 8 Februari lalu dan dia sudah pun membalas surat tunjuk sebab tersebut dan kita akan menunggu Jawatankuasa Tatatertib bersidang,” katanya.
Intan telah menimbulkan kemarahan para penyokong apabila memuatnaik hantaran tidak sesuai di laman X peribadinya namun dia segera tampil membuat permohonan maaf di atas keterlanjuran tersebut dengan berkata ia berlaku kerana tidak dapat mengawal emosi.
Dia yang turut berada di Stadium Al Janoub, Qatar ketika Malaysia mengikat Republik Korea 3-3 itu mempertikaikan tindakan Pan-gon membawa masuk Romel Morales sehingga dihentam netizen yang memaksanya memadam hantaran itu.
Perkara ini turut mendapat perhatian Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al Zoubi yang juga tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan Intan yang disifatkan tidak menggambarkan kematangan pemain itu dan menjejaskan reputasi negara.
Intan kini sedang beraksi bersama pasukan MBSJ FC dalam Liga Wanita Selangor dan kini perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib bagi mengetahui masa depannya dalam sukan bola sepak wanita.
ARTIKEL BERKAITAN:
Soleen Al Zoubi pandang serius ‘ciapan’ Intan Serah
FAM ambil perhatian ‘pandangan’ Intan Serah di laman X