Select Page

“Nazmi, Razlan antara calon pengadil bakal bertugas di Piala Dunia 2026”- Presiden FAM

“Nazmi, Razlan antara calon pengadil bakal bertugas di Piala Dunia 2026”- Presiden FAM

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berusaha keras ke arah melahirkan lebih ramai pengadil yang akan bertugas di Piala Dunia akan datang.

Selain bekas pengadil terkemuka, Subkhiddin Mohd Salleh, beliau percaya masih ramai lagi bakat baharu yang perlu diketengahkan ke Piala Dunia terdekat  yang akan dilangsungkan di Amerika Syarikat pada tahun 2026.

Antara nama pengadil yang meniti di bibir beliau adalah Nazmi Nasaruddin dan Razlan Joffri Ali yang dilihat merupakan antara calon popular yang menjadi prospek untuk dihantar ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.

“Untuk Piala Dunia ini saya mahu lebih pengadil. Kita perlu kerja keras. Mungkin Nazmi ada peluang. Mungkin Razlan ada peluang. Semua ada peluang.

“Saya hendakkan kalau boleh takkan Subkhiddin sahaja yang ada. Saya hendak ada nama (pengadil) orang lain ada di dalam sekali.

“Ini perlu kita beri keazaman kepada pengadil muda setelah kita ketinggalan setelah tiga Piala Dunia terakhir.

“Saya lihat ada beberapa potensi untuk kita beri walaupun Nazmi dan Razlan ini banyak juga peminatnya, bukan lelaki, perempuan pun ramai,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Jersi Baharu Pengadil Bagi Musim 2023 serta Majlis Makan Malam Bersama Pengadil Kebangsaan.

Jelas beliau lagi, Jawatankuasa Pengadil harus melihat kepentingan memastikan pengadil negara beraksi di pentas Piala Dunia kerana jika tidak Malaysia akan terus ketinggalan dalam pengadilan di pentas tertinggi dunia.

“Kalau tidak, kita akan ketinggalan untuk membawa pengadil lain ke Piala Dunia selepas ini. Saya faham beberapa pengadil adalah pengadil terbaik di peringkat AFC dan sering dipanggil untuk beberapa kejohanan anjuran AFC.

“Saya hendak jawatankuasa ini merancang untuk pengadil tersebut ada dihantar ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.

“Ini perlukan kesedaran dan komitmen daripada semua pihak untuk lakukan terutama dari Jawatankuasa Pengadil dan juga untuk pengadil sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan durian runtuh sebanyak RM15, 000 yang bakal disalurkan sebagai hadiah bagi mengiktiraf pencapaian pengadil terbaik mengikut kategori dalam Majlis Makan Malam Pengadil tahun hadapan (2024).

“Saya ingin mengumumkan pada majlis makan malam seterusnya untuk memberikan RM10, 000 secara tunai dihadiahkan untuk beberapa kategori dalam majlis seterusnya.

“Dekat sini saya hendak mohon dari MFL untuk keluarkan RM5,000. RM15,000 ini bukan untuk beri makan. Ia untuk beri hadiah,” katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Presiden Liga Bolasepak Malaysia(MFL), Datuk Abdul Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, Ketua Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam serta barisan Jawatankuasa Pengadil FAM.

Video Terkini

Loading...