PEMEGANG rekod dunia 100 meter (m) lelaki, Usain Bolt kerugian RM54.781 juta (AS$12.7 juta) selepas wang itu didapati hilang dari akaun pelaburannya dengan firma pelaburan swasta.

Peguamnya, Linton P Gordon ketika dipetik Assioted Press (AP) berkata, pihaknya sudah menghantar satu surat kepada Stock & Securities Limited supaya memulangkan wang terbabit, malah pihak berkuasa Jamaica sedang melakukan siasatan mengenainya.

Gordon berkata, akaun milik Bolt berbaki RM55.212 juta (AS$12.8 juta) kini tinggal RM51,762 (AS$12,000) sahaja.

“Jika ini benar… namun kami harapkan tidak, ia adalah satu penipuan yang serus terhaap pelanggan kami,” kata peguam Bolt dalam surat kepada AP.

Mereka mengancam tindakan sivil dan jenayah akan diambil jika wang tersebut tidak dipulangkan dalam tempoh 10 hari.

Stock & Securities Limited tidak memberi tindak balas segera. Menerusi laman web, syarikat terbabit mengarahkan klien segera mengusulkan persoalan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica yang bertanggungjawab melakukan siasatan ke atas firma pelaburan.

Hampir habis kesemua wang dalam akaun pelaburan Usain Bolt.

“Kami memahami bahawa pelanggan bimbang dan mahukan lebih banyak maklumat, dan kami jamin akan memantau perkara ini dengan teliti dalam setiap langkah yang diambil dan akan memaklumkan kepada pelanggan sebaik menemui penyelesaian dan sebaik maklumat itu tersedia,” kata syarikat terbabit.

Syarikat itu mendakwa, wujud beberapa penipuan sebelum ini apabila beberapa klien dipercayai kehilangan jutaan dolar.

Menteri Kewangan Jamaica, Nigel Clarke mengakui keadaan itu membimbangkan dan disifatkan perkara luar biasa.

“Institusi kewangan kita meragukan, tetapi saya meninta agar kita tidak menggambarkan keseluruhan industri ini sedemikian semata-mata sikap segelintir individu yang sangat tidak jujur,” katanya.

Peguam Bolt menghantar surat pada Isnin, hari yang sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica mengumumkan pelantikan pakar juruaudit bagi menilai tuduhan penipuan di Stocks & Securities Limited, yang berppangkalan di ibu kota Kingston.

Bolt bersara dari dunia olahraga pada 2017 dan masih memegang rekod dunia acara 100m, 200m dan 4X100m. -AP