PENGENDALI Negeri Sembilan, Azzmi Aziz mengakui tugasannya kini lebih menjurus untuk memperkukuhkan barisan pertahanan sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2024-2025.

Ini selepas dia melihat pemain yang dimiliki pasukan ketika ini lebih berorientasikan menyerang namun menuntut kerjasama daripada pemain untuk memahami tugasan tambahan bagi melaksanakan tanggungjawab bertahan.

Bagaimanapun Azzmi akui sedikit lega kerana kehadiran beberapa bekas pemainnya di PDRM FC musim lalu boleh membantu rakan-rakan sepasukan yang lain sekali gus memberikan kelegaan buatnya untuk merangka pendekatan terbaik bagi pasukan.

Azzmi Aziz mahu fokus pada bahagian pertahanan Negeri Sembilan FC

“Pentingnya untuk seseorang jurulatih adalah bekerja dengan pemain yang mereka sudah biasa. Memang kualiti Negeri Sembilan dan PDRM FC berbeza, bukan mahu perkecilkan PDRM FC tetapi mereka ada pemain yang lebih kepada bertahan.

“Di Negeri Sembilan kita lebih kepada menyerang, jadi logik juga saya kena bekerja lebih untuk perbaiki aspek bertahan. Saya kena fahamkan pemain tentang elemen bertahan dan pastinya ia akan memerlukan sedikit masa.

“Kata mudahnya, pelari pecut tidak boleh jadi pelari maraton kerana ia babitkan tugas berbeza. Jadi kita kena fahamkan mereka tentang perkara ini,” katanya.

Aksi Negeri Sembilan ketika Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024

Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan namun Azzmi lega apabila pemainnya mula serasi dan mampu melaksanakan segala taktikal yang dirancang.

“Keseluruhannya saya berpuas hati walaupun kalah kerana kita tahu KL City adalah pasukan bagus dan cukup berpengalaman. Perjalanan pasukan juga bertambah baik dan buat masa ini kita kena sesuaikan pemain baharu dengan perancangan pasukan,” katanya.

Negeri Sembilan FC akan membuka tirai Liga Super musim ini bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada 18 Mei di Stadium Sultan Ibrahim dan Azzmi menjangkakan satu aksi yang semestinya sukar buat pasukannya.