BIARPUN berbekalkan azam yang tinggi untuk menyingkirkan pilihan pertama dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yi Fan, namun ianya belum cukup buat Pearly Tan- Thinaah Muralitharan apabila gagal mengimbangi corak pantas lawan dengan kekalahan straight set 10-21 19-21.

Memandangkan ia pertemuan pertama, Pearly Tan mengakui pasangan China tersebut bermain dengan pantas dan mereka gagal menyaingi gaya permainan lawan mereka sekaligus tumpas mudah pada set pertama.

“Kita lakukan banyak kesilapan mudah dan mereka sangat bagus dan mereka menekan kita sangat baik, dan kita tidak dapat mengikut rentak mereka dalam permainan, kena pergi balik dan buat analisis,” kata Pearly.

Sementara itu, Thinaah pula mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya menyebabkan permainannya pada set kedua terhenti seketika di hujung permainan.

“Saya ada rasa kesakitan dekat buku lali. Pada suatu ketika, buku lali saya tersekat dekat bawah, saya tak boleh bergerak. Saya akan mendapat bantuan medikal segera,” jelas Thinaah kepada media.

Kekalahan itu kepada beregu pertama dunia itu menyaksikan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan terus kempunan untuk beraksi di pentas akhir PERODUA Malaysia Masters 2022.