Legenda bola jaring New Zealand, Laura Langman sah meninggalkan Johor Jewels selepas menamatkan kempen Netball Super League (NSL) 2026 bersama pasukan itu.
Perkembangan tersebut diumumkan Johor Jewels menerusi kenyataan rasmi di semua platform media sosial pasukan berkenaan yang turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Langman sepanjang bersama skuad dari selatan tanah air itu.
Menurut kenyataan berkenaan, pengalaman, kepimpinan dan semangat juang bekas kapten New Zealand itu memberi impak besar bukan sahaja kepada pemain di dalam pasukan, malah turut menjadi inspirasi kepada penyokong serta barisan pengurusan.
Johor Jewels turut menyifatkan kehadiran Langman sebagai antara elemen penting dalam perjalanan pasukan musim ini sehingga berjaya melangkah ke pentas final NSL 2026.
“Terima kasih, Laura Langman, atas dedikasi, semangat dan kepimpinan luar biasa sepanjang perjalanan anda bersama Johor Jewels.
“Terima kasih untuk setiap saat, setiap pertarungan di gelanggang, setiap pengajaran dan setiap kenangan yang anda cipta bersama pasukan ini,” menurut kenyataan itu.
Langman turut membalas penghargaan tersebut menerusi ruangan komen Instagram rasmi Johor Jewels dengan mengakui beliau berasa bertuah dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan pasukan itu.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan dan menerima saya menjadi sebahagian daripada pasukan ini.
“Saya rasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian kecil daripada perjalanan Johor Jewels,” katanya.
Pemain berpengalaman itu memainkan peranan penting membantu Johor Jewels mara ke final NSL musim 2026 sebelum tewas kepada Terengganu Marvels dalam aksi penentuan kejuaraan.
Prestasi konsisten dipamerkan Langman sepanjang musim turut menyaksikannya dipilih sebagai Pemain Import Terbaik NSL 2026.
Dengan pengunduran Langman, Johor Jewels kini dijangka bergantung kepada seorang lagi bintang import mereka, Gretel Bueta bagi menghadapi saingan NSL Regional Cup selepas ini.