SKUAD bola sepak wanita negara pulang dari kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Tajikistan dengan dua kemenangan dan satu kekalahan. Tapi ironinya, walaupun berjaya menewaskan Palestin dan tuan rumah Tajikistan masing-masing 1-0, Malaysia tetap gagal layak ke pusingan akhir di Australia.

Dari satu sudut, ini mungkin boleh dianggap sebagai kemajuan terutama jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum ini. Namun, di balik euforia kemenangan ke atas dua lawan ‘kelas pertengahan’, hakikatnya Malayan Tigress masih belum cukup kuat untuk menembusi kelompok elit Asia. Kalah 0-6 kepada Korea Utara adalah realiti keras yang perlu ditelan, bukan disorok di balik angka enam mata.

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim bersetuju bahawa pencapaian ini menunjukkan peningkatan meskipun katanya, pasukan ini masih jauh dari cukup kuat.

“Kita menang dua perlawanan awal, tapi tetap tak layak. Jadi ini petanda kita perlu tambah baik lagi. Kunci utama bukan saja taktikal, tapi intensiti dan kualiti latihan musim ke musim,” tegasnya yang juga umum dikenali sebagai Zack.

Pandangan itu turut dikongsi jurulatih Women Social Futsal (WSF SC), Jamy AJ, namun beliau lebih cenderung melihat sisi positif.

Baginya, dengan pelbagai kekangan persiapan lewat, ketiadaan perancangan jangka panjang, dan kehadiran jurulatih baharu Joel Cornelli skuad wanita masih wajar dipuji kerana masih mampu mengutip enam mata.

Namun persoalan utama yang dibangkitkan Jamy ialah, adakah pencapaian ini akan disusuli tindakan konkrit, atau hanya menjadi ‘highlight’ bermusim sebelum skuad ini kembali dilupakan?

“Masalah kita bukan keputusan perlawanan semata-mata, tapi budaya sukan wanita yang tak konsisten. Selesai kejohanan, pasukan terus tidur.

“Liga wanita tempatan pula hanya aktif bila nak cukup KPI. FAS sahaja yang nampak serius, yang lain ke mana?” soalnya tajam.

Beliau juga menyeru agar FAM tidak hanya bergantung kepada senarai pemain sedia ada, sebaliknya lebih agresif turun padang mencari bakat baharu di seluruh negara.

Pemain senior seperti Steffi Sidhu dan Intan Serah mana mungkin dapat bertahan lama pada tahun-tahun mendatang.

Paling penting, Malaysia perlu keluar dari perangkap selesa di mana ‘menang dua perlawanan’ sudah cukup untuk dijadikan sandaran kemajuan. Sebab jika kemenangan itu tidak membawa ke mana-mana, apalah ertinya?

Skuad Malayan Tigress telah membuka jalan. Tapi jalan itu perlu diluaskan dengan sistem yang berfungsi bukan sekadar semangat sekejap, sebelum kembali senyap.