SELANGOR Red Giants (SRG) kini hanya selangkah lagi untuk ke pentas Grand Final M7 Championship selepas menewaskan Aurora Turki 3-2 dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik semalam.
Pertembungan sengit itu terpaksa ditentukan sehingga ke perlawanan kelima sekaligus menjadi aksi tumpuan apabila kedua-dua pasukan saling memberi tentangan hebat sejak awal permainan.
SRG pada mulanya dikejutkan dengan penggunaan meta tidak konvensional oleh Aurora Turki, namun kecekapan pasukan gergasi merah untuk beradaptasi pantas membolehkan mereka membaca corak permainan lawan dan membalas strategi yang digunakan.
Tahap disiplin yang tinggi serta pengalaman luas jelas menjadi kelebihan buat SRG apabila mereka berjaya mengawal tempo permainan dengan tenang meskipun dua kali berada dalam situasi ketinggalan.

Ketenangan serta keputusan taktikal yang tepat akhirnya membuahkan hasil apabila SRG menamatkan perlawanan dengan kemenangan tipis 3-2, mengesahkan tempat ke perlawanan penentuan ke Grand Final (Upper Bracket Final).
Bagaimanapun, cabaran sebenar menanti SRG apabila mereka bakal berdepan Aurora Filipina yang turut menampilkan prestasi cemerlang dengan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan M7 Championship.

Aksi penentuan antara Selangor Red Giants dan Aurora Filipina dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam di MPL Arena, Stadium Senayan, Indonesia, bagi merebut tiket ke pentas Grand Final.